Datuk Seri Dr Wan Azizah menyampaikan Pingat Hang Tuah kepada Muhammad Danish Rayqal Mohd Firdaus. Foto Facebook JKM
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Hargai, raikan kanak-kanak permata negara

Oleh Nadia Jumri

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Usianya baru lapan tahun namun adik Muhammad Danish Rayqal Mohd Firdaus baru-baru ini mendapat perhatian ramai apabila dianugerahkan Pingat Hang Tuah sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan Tahun 2022, anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pingat yang disampaikan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah sebagai mengiktiraf keberanian luar biasa pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Taman Kampung Melayu Kluang (Johor) ini menyelamatkan dua orang adiknya sewaktu berlaku kebakaran di rumah mereka pada 29 Jun 2022.

Walaupun mengalami masalah penglihatan rabun jauh dan kehilangan cermin mata (ketika inisiden kebakaran itu), Muhammad Danish Rayqal dengan pantas dan tangkas bertindak mengendong Muhamad Darish Rizqe, 6, dan Nurdiya Delisha, 4.

Sambil mengendong adik-adiknya dari ruang ramu ke ruang dapur, Muhammad Danish Rayqal menjerit meminta tolong dan mereka berjaya diselamatkan oleh jiran tetangga.

Aktiviti pada sambutan Hari Kanak-Kanak 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC). Foto Facebook JKM

Ketika api membakar rumah adik beradik ini yang terletak di Jalan Mohd Salim Kampung Melayu, Kluang, ibu bapa mereka tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Pingat sejak 1960-an

Sejurus selepas berita mengenai penganugerahan itu tersebar, rata-rata komen di media sosial memuji usaha mewujudkan anugerah berkenaan. Malah ada juga yang menyatakan mereka sudah lama tidak mendengar berita mengenai Anugerah Pingat Hang Tuah yang biasanya disampaikan ketika sambutan Hari Kanak-Kanak.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, Anugerah Pingat Hang Tuah bertujuan mengiktiraf kanak-kanak yang dianggap sebagai permata negara, yang menunjukkan keberanian dalam membantu menyelamatkan nyawa manusia, harta benda atau tindakan dengan elemen keberanian yang luar biasa sewaktu kecemasan, bencana, kemalangan atau darurat.

“Ada yang mengatakan anugerah ini seperti ‘hilang dari radar’, namun sejak ia diwujudkan pada tahun 1960-an, seramai 23 orang telah dipilih sebagai penerima termasuk adik Muhammad Danish Rayqal,” katanya ketika temu bual bersama Bernama sempena Hari Kanak-kanak Kebangsaan Tahun 2022, di Ibu Pejabat JKM, Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, setiap JKM Negeri/Wilayah Persekutuan perlu mengenal pasti dan mengemukakan hanya seorang calon kanak-kanak lelaki atau perempuan yang terbaik untuk dibuat penilaian dan pemilihan di peringkat kebangsaan.

Aktiviti pada sambutan Hari Kanak-Kanak 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC). Foto Facebook JKM

“Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat akan melantik Jawatankuasa Pemilihan Anugerah untuk memilih pemenang. Tugas Jawatankuasa Pemilihan adalah untuk menerima, meneliti pencalonan dan membuat pemilihan mengikut kriteria dan markah yang ditetapkan.

“Calon mestilah warga negara Malaysia tanpa mengira kaum. Ia terbuka kepada semua kanak-kanak di negara ini, berumur antara tujuh hingga bawah 18 tahun. Pencalonan mesti berdasarkan peristiwa yang menunjukkan keberanian dalam membantu menyelamat serta tidak pernah terlibat dengan sebarang kes jenayah, akhlak dan moral, ” tambahnya.

Pelbagai program

Penganugerahan Pingat Hang Tuah adalah antara pengisian sambutan Hari Kanak-Kanak pada tahun 2022 ini yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kepelbagaian Untuk Setiap Kanak-Kanak’.

Menurut Shaharuddin, JKM menggalas komitmen penganjuran sambutan Hari Kanak-kanak sejak mengambil alih tugas penganjuran pada tahun 1965 memandangkan kanak-kanak adalah kumpulan sasar jabatan itu.

Untuk tahun 2022, bermula Jun lepas, JKM menyusun pelbagai program yang dilaksanakan secara bersemuka dan juga secara dalam talian. JKM menerima maklum balas positif dan banyak permohonan bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Antara program yang dilaksanakan ialah Pertandingan Khalifah Junior yang melibatkan pertandingan Seni Khat Khalifah Junior, Pidato Dakwah Khalifah Junior, Cerita Kisah Al-Quran Khalifah Junior, Pemuda Al Amin dan Pertandingan Qasidah Khalifah Junior.

“Selain itu, Pertandingan Kemahiran Junior Skills Challenge yang diperkenalkan tahun ini melibatkan kanak-kanak dari lima buah institusi Kanak-kanak JKM dalam bidang jahitan. Objektif pertandingan ini diadakan adalah untuk mencetuskan daya saing dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai kemahiran dalam bidang yang mereka ceburi,” katanya.

JKM turut mengadakan program Pemerkasaan Kerja Berpasukan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Kebangsaan Tahun 2022, Kembara Khalifah Junior, Jom Baca Sempena Dekad Membaca Kebangsaan (Kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka), Kempen Pekerti Nurani (Kempen Menangani Buli dan Salah Laku Seksual di Institusi Kanak-Kanak), Jelajah Kasih Kanak-Kanak Prihatin Rakyat, Malam Kanak-Kanak Berselawat dan Persidangan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Tahun 2022.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail pada majlis perasmian sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan Tahun 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC). Foto Facebook JKM

Selain Anugerah Pingat Hang Tuah, JKM turut memperkenalkan Anugerah Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Paling Aktif pada tahun 2022 bagi mengiktiraf peranan PAKK dalam memberikan perkhidmatan sokongan kepada kanak-kanak.

Menurut Shaharuddin, PAKK berfungsi menjalankan aktiviti atau program dan memberikan perkhidmatan sokongan bercorak pencegahan, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kepada kanak-kanak dengan accara kemuncak ialah majlis perasmian Hari Kanak-kanak Kebangsaan 2022.

Keterangkuman, kepelbagaian kanak-kanak

Selaras saranan Dr Wan Azizah sewaktu merasmikan Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan Tahun 2022 pada 27 November lepas yang meminta acara berkenaan menjadi satu titik tolak berkesan untuk memperaku, mempromosi dan meraikan hak golongan kanak-kanak, Shaharuddin berkata JKM mengakui kepentingan meraikan keterangkuman dan kepelbagaian kanak-kanak di Malaysia demi menambah baik kualiti kehidupan mereka pada masa kini dan masa akan datang.

Beliau berkata, penggunaan istilah ‘keterangkuman’ dalam tema Hari Kanak-kanak Kebangsaan 2022 membawa maksud penerimaan dan penghormatan terhadap kepelbagaian keperluan individu dalam sesebuah komuniti terjamin, saksama serta seimbang.

Sementara itu istilah ‘kepelbagaian’ pula adalah sesuatu keadaan atau suasana yang diwarnai oleh pelbagai ciri dan elemen yang hadir serentak dalam satu masa yang sama.

“Justeru, tema ‘Keterangkuman dan Kepelbagaian Untuk Setiap Kanak-Kanak’ adalah suatu persekitaran yang menerima, menghormati serta memahami perbezaan terhadap keperluan dan juga hak kanak-kanak .

“Di samping itu, Malaysia juga tersohor di persada dunia dengan keunikan dan keistimewaan dengan wujudnya kepelbagaian dalam kalangan rakyatnya,” katanya.

Shaharuddin yang berpandangan bahawa hasrat untuk melindungi kanak-kanak dari segala aspek tidak akan menjadi kenyataan tanpa penglibatan semua pihak berkata, beliau pada masa sama menggalakkan mana-mana sektor korporat serta pertubuhan sukarela berganding bahu dalam memberikan perlindungan kepada golongan berkenaan, khususnya yang memerlukan bantuan serta sokongan.

“Keluarga harus menjadi institusi untuk membimbing dan mendidik anak-anak supaya lebih bertanggungjawab, lebih berwaspada dan mempunyai jati diri yang kental untuk menghadapi cabaran yang ada.

“Keluarga juga perlu menyediakan persekitaran yang selamat serta bebas daripada segala bentuk kerosakan dan keganasan. Masyarakat perlu berani tampil untuk membantu mengatasi masalah ini kerana kanak-kanak sentiasa menghantar isyarat penganiayaan terhadap diri dan persekitaran kehidupan mereka,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :