Orang ramai melakukan aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan selepas negara beralih ke fasa endemik di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur pada 2 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Hidup kembali normal dalam fasa endemik, namun rakyat kekal waspada

SHAH ALAM, 30 DIS: Pengumuman negara memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April menceriakan semua pihak. Sedikit demi sedikit sekatan dilonggar susulan pengumuman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac, perdana menteri ketika itu.

Kehidupan penduduk kembali normal walau tidak sepenuhnya. Meski bilangan kes Covid-19 kian terkawal, selepas dua tahun mengharungi pandemik, sikap waspada terus kekal.

Pada peringkat awal, pemakaian pelitup muka di tempat awam kekal wajib dipatuhi setiap individu. Pendaftaran kemasukan menerusi aplikasi MySejahtera juga masih dikuat kuasa.

Apapun, peralihan itu pastinya melegakan peniaga berikutan had operasi takat jam 12 tengah malam kembali kepada 24 jam.

Begitu juga pemain industri pelancongan, antara sektor paling teruk terjejas, kembali menjana pendapatan apabila pihak berkuasa membuka sempadan negara. Ekonomi yang tenat akibat sekatan selama dua tahun, perlahan-lahan bertatih semula. Kurang sebulan pembukaan sempadan, industri pelancongan mulai rancak.

Penduduk berarak melaungkan takbir raya sambil memalu gendang dan membawa arca ketika Program Takbir Hari Raya Aidilfitri sebaik sahaja pengumuman raya ketika tinjauan di Flat Taman Setia Balakong, Sungai Besi pada 1 Mei 2022. Foto BERNAMA

Bagi umat Islam pula, Ramadan dan Aidilfitri tahun ini terasa manisnya, dapat bersua wajah dengan ibu bapa di kampung selepas dua tahun terjarak. Juga berpeluang solat tarawih di masjid dan surau.

Di Selangor, lebih 15,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam seawal 7 pagi. Masyarakat juga mengubat kerinduan dengan bertemu sanak saudara dan menjamu juadah Aidilftri di kampung halaman.

Imbasan kod QR MySejahtera pula tidak lagi wajib mulai 1 Mei apabila memasuki premis atau tempat awam. Namun, individu dengan status berisiko tinggi termasuk kes positif atau individu yang diberi arahan pemantauan di rumah (HSO) dilarang ke premis tersebut.

Kemunculan sub varian Omicron iaitu BA.5 dan BA.2.12.1 yang dikesan pada 10 Jun tidak menggugat suasana walau kedua-duanya dikatakan lebih mudah berjangkit berbanding virus asal.

Pada 7 September, pemakaian pelitup muka di tempat tertutup hanya pilihan, tidak lagi wajib. Pada masa sama, kompaun tidak memakai pelitup muka dimansuh pada September. Tiada lagi saman terhadap mana-mana individu yang tidak berpelitup muka di tempat awam mulai 13 September. Sebelum ini, kompaun tersebut mencetuskan keributan dan pertikaian.

Orang ramai memakai pelitup muka bagi mencegah penularan Covid-19 ketika membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada 10 April 2022. Foto BERNAMA

Sekitar Oktober, kehadiran subvarian Covid-19 baharu iaitu Omicron XBB dikesan di negara ini, menandai ancaman wabak itu belum berakhir. Namun, walau bilangan jangkitan naik, peningkatan kes ke hospital dan kematian berkurangan.

Bagi memastikan keselamatan penduduk rentan, Kerajaan Selangor pada 10 November mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi menyediakan 10,000 dos vaksin pneumokokal secara percuma.

Menurut Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari, fasa pertama program antara 14 November hingga 31 Disember menyasarkan rumah jagaan orang tua, warga emas dan pemegang kad Iltizam Selangor Sihat (ISS).

Di sebalik ancaman Covid-19 reda, kadar kes harian demam denggi pula menunjukkan peningkatan sejak sektor sosial dibuka seperti sedia kala. Menurut EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud, trend demam denggi di Selangor bermula sejak minggu epidemiologi (ME) 46 pada 2022 dengan 31,822 kes dilapor sehingga ME 46 yang berakhir pada 19 November.

“Ini peningkatan sebanyak 131.5 peratus atau 18,077 kes berbanding minggu yang sama pada tahun lepas (2021), dengan sebanyak 13,745 kes,” katanya pada 5 Disember.

Sekalipun wabak Covid-19 di negara ini tidak lagi digeruni seperti hujung 2019 yang berlarutan hingga 2021, China, negara yang dikatakan punca virus itu, pada masa ini bergelut berikutan kira-kira sejuta jangkitan baharu dicatat setiap hari.


Pengarang :