Exco Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail bersama penerima pembiayaan skim Hijrah Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang 2022 di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hijrah salur bantuan niaga RM710 juta, manfaat lebih 55,000 usahawan

SHAH ALAM, 2 DIS : Seramai 55,834 usahawan menerima manfaat menerusi skim pembiayaan pinjaman Hijrah Selangor (Hijrah) sejak awal penubuhannya pada 2015.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata institusi pembiayaan tersebut sudah menyalurkan sejumlah RM710 juta bagi membantu dari segi modal serta mengembangkan perniagaan.

“Hijrah bermula dengan hanya empat skim pembiayaan iaitu Skim i-Bisnes, Skim Zero to Hero; Skim Go Digital dan Skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NADI).

“Kini Hijrah memperluaskan tawaran dengan beberapa skim baharu iaitu Skim i-Lestari, Skim i-Agro dan Skim i-Bermusim,” katanya ketika penggulungan Belanjawan Selangor 2023 pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Rodziah menjelaskan beberapa mekanisme dan skim baharu bakal diperkenalkan pada tahun depan meliputi Skim i-Sosial iaitu pembiayaan bermula RM1,000 hingga RM10,000 dengan sasaran awal melibatkan jumlah sebanyak RM4.2 juta.

Beliau berkata, antara penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan skim Hijrah pada tahun depan adalah melonggarkan syarat pembiayaan kepada peminjam yang mempunyai premis perniagaan bersempadan dengan Selangor seperti Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak.

“Kerjasama menerusi aktiviti pelaburan bersama antara Hijrah Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) akan diwujudkan untuk meningkatkan dan memantapkan aktiviti promosi dan pengedaran produk usahawan Hijrah Selangor di dalam dan di luar negara,” katanya.


Pengarang :