Tokoh wartawan Tan Sri Johan Jaaffar (dua, kiri) bergambar bersama U-Wei Haji Saari (dua, kanan) selepas merasmikan buku berjudul Dot Dot Dot dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 5 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Himpun 21 koleksi esei, U-Wei harap ‘Dot Dot Dot’ diterima ramai

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 6 DIS: U-Wei Saari berharap naskhah terbaharunya ‘Dot Dot Dot’, yang memuatkan 21 koleksi esei diterima baik peminat buku dan seni tanah air.

Pengarah yang terkenal dengan filem Perempuan, Isteri dan …. berkata salah satu karya itu mengulas penulisan wartawan veteran Datuk Nuraina Samad menerusi buku ‘Tuesdays With Bapak’.

Nuraina merupakan anak kepada tokoh wartawan Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Samad.

“Kebanyakan esei sudah lama saya hasilkan tetapi ada satu yang baharu saya tulis ketika berada di Moscow pada Oktober lepas (bertajuk Nuraina Anak Bapak A Samad Ismail),” katanya.

Beliau ditemui selepas pelancaran buku tersebut pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.

Melalui filem Perempuan, Isteri dan …. U-Wei dinobatkan sebagai pengarah terbaik Festival Filem Malaysia ke-11, manakala karya Jogho dan Kaki Bakar diiktiraf di luar negara.

Buku ‘Dot Dot Dot’ terbitan Forum Press Sdn Bhd setebal 284 muka surat dijual dengan harga RM45 dan boleh dibeli di SIBF selain dijual di kedai buku selepas ini.


Pengarang :