Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima bantuan peralatan usahawan India Selangor (I-Seed) pada program Jelajah Selangor Penyayang di Persiaran As Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

I-Seed bantu kembang perniagaan, perkasa ekonomi masyarakat India

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 4 DIS: Penerima manfaat program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) melihat bantuan diberikan Kerajaan Negeri mengembangkan perniagaan mereka.

Pengusaha kedai runcit Kovilavani Maruthey, 36, berkata bantuan bernilai RM5,600 yang diterima akan digunakan untuk memajukan perniagaannya.

Kovilavani Maruthey

“Saya bercadang tambah barang jualan dengan membeli peti sejuk besar. Sebelum ini terhad kerana tiada tempat untuk simpan barangan mudah rosak.

“Saya yakin perniagaan akan semakin berkembang kerana tambahan barang di kedai akan tarik lebih ramai pelanggan untuk berbelanja,” katanya ditemui selepas menerima bantuan I-Seed sempena Jelajah Selangor Penyayang di Persiaran As-Salam, Bukit Sentosa hari ini.

Bagi pengusaha kedai kek dan bakeri, Manimaykalay Givondasamy, 54, bantuan itu bukti Kerajaan Negeri komited memperkasa ekonomi masyarakat India.

Manimaykalay Givondasamy

“Inilah bukti Kerajaan Negeri tidak meminggirkan kaum India. Kami dapat bantuan memajukan perniagaan sama seperti kaum lain,” katanya yang bercadang membeli mesin pengadun tepung dan peti sejuk menerusi bantuan berjumlah RM5,300 yang diterima.

Rijayah Arokiasamy, 54, yang sudah 20 tahun mengusahakan restoran berkata bantuan itu amat bermakna kerana bantu perniagaannya bertahan.

Rijayah Arokiasamy

“Banyak peralatan di kedai sudah rosak. Dengan bantuan ini saya dapat ganti peti sejuk dan elak kerugian kerana barangan mentah mudah rosak,” katanya.

Program I-Seed dilancar pada 7 April tahun lalu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang diusahakan.

Antara syarat kelayakan adalah rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun, individu dan seisi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan perniagaan mesti beroperasi di negeri ini.


Pengarang :