Ikan lumba-lumba yang cedera di bahagian ekor terdampar di pesisiran Pantai Air Papan, Mersing pada 31 Disember 2022. Foto Facebook MY Mersing
AGENDA NASIONAL

Ikan lumba-lumba cedera dijumpai terdampar di Pantai Air Papan

MERSING, 31 DIS: Seekor ikan lumba-lumba yang cedera di bahagian ekor ditemukan terdampar di pesisiran Pantai Air Papan di sini kira-kira 9.15 pagi tadi.

Pengarah Perikanan Negeri Johor Zainudin Abd Wahab berkata mamalia spesies ‘tursip truncates’ atau lebih dikenali ikan lumba-lumba hidung botol, yang masih hidup itu dipercayai cedera akibat terkena batu atau karang ketika dibadai ombak susulan laut bergelora.

Bagaimanapun, beliau berkata memandangkan kecederaan dialami haiwan dipercayai berusia lingkungan satu hingga dua tahun itu tidak serius, ia dilepaskan semula ke laut mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Jabatan Perikanan Malaysia memohon jabatan, agensi dan masyarakat agar sentiasa melaporkan kepada jabatan itu sebarang spesies terancam termasuk penyu yang ditemukan terdampar. Usaha secara bersendirian tidak mampu untuk menyelesaikan cabaran ini.

“Jabatan Perikanan Negeri Johor sentiasa komited mengurus sumber perikanan, menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan bertekad melindungi sumber perikanan di perairan negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing Kapten Nurnajibah Abdullah dalam kenyataan berasingan berkata petugas Menara Penyelamat Pantai APM Zul Hafiq Rafiizan menemukan ikan itu di persisiran pantai ketika meletakkan bendera amaran kira-kira 800 meter dari menara.

Menurutnya Zul Hafiq kemudiannya cuba melepaskan ikan yang dianggarkan seberat 30 hingga 35 kilogram itu, mengikut laluannya namun gagal berikutan keadaan air pasang dan ombak kuat.

“APM menghubungi Pejabat Perikanan untuk tindakan lanjut dan mereka hadir ke lokasi kejadian sebelum melepaskan ikan itu di Teluk Buih di sini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :