Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama pemenang hadiah utama dan penerima sagu hati pada Majlis Penyampaian Anugerah Ikon Agro Selangor 2021 di Wisma PKPS, Shah Alam pada 7 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ikon Agro Selangor 2022 bermula 19 Disember, tawar hadiah RM10,000

SHAH ALAM, 14 DIS: Program Ikon Agro Selangor diteruskan buat kali ketiga bermula 19 Disember ini, kata EXCO Pertanian.

Ir Izham Hashim berkata pertandingan bagi menjadikan negeri sebagai pusat bekalan makanan itu  menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 berserta peralatan tani.

Beliau berkata ia merangkumi lima kategori iaitu penternakan, akuakultur, tanaman, industri asas tani dan agropelancongan.

“Program ini akan memilih individu atau syarikat yang berjaya mengusahakan pertanian moden. Tujuan kita nak galakkan lebih ramai terlibat dalam industri selain jadikan negeri sentiasa ke hadapan.

“Pencalonan dibuka sehingga 16 Januari depan. Kita pilih mereka yang berdaya maju dan mengusahakan produk moden di Selangor selain mendapat hasil yang tinggi,” katanya selepas Majlis Apresiasi Jelajah Ehsan Rakyat semalam.

Syarat penyertaan seperti berikut:

-Berasal atau bermastautin di Selangor lebih lima tahun

-Berumur 18 tahun ke atas

-Syarikat berdaftar atas nama sendiri dan beroperasi di Selangor

-Penyata kewangan tiga tahun lengkap

-Persatuan dan koperasi digalakkan memohon

Anugerah diperkenalkan pada 2020 melibatkan pencarian 10 ikon yang berjaya dalam bidang pertanian dan diteruskan pada 2021.

Calon terpilih akan dipantau dan diaudit ahli jawatankuasa pertanian negeri selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.


Pengarang :