Pelanggan membeli telur ayam omega yang terdapat di pasaran ketika tinjauan di sebuah pasar raya di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 29 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Import dua hingga 10 juta telur ayam sehari penuhi keperluan pasaran

SHAH ALAM, 20 DIS: Sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur akan diimport sehari mulai Khamis ini bagi menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan selain mengawal harga.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan langkah tersebut bermula sejak 15 Disember lalu dengan permulaan kemasukan import 100,000 biji telur, lapor Berita Harian.

“Maka, kita sudah buat perubahan dengan memberikan import bermula pada 15 Disember, 100,000 biji telur dan mulai 22 Disember, dua hingga 10 juta biji telur sehari akan dibawa masuk sehingga keadaan stabil dan keupayaan pengeluaran tempatan terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Wang Masuk) 2022 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan isu kenaikan harga barang khususnya telur ayam dan ayam yang berterusan akibat faktor penentuan harga yang banyak ditetatpkan pihak industri.

“Dalam beberapa minggu, ayam, telur pada 12 Disember, 15 Disember…diimport. Ini masalahnya adalah kartel. Masalahnya menetapkan kepada syarikat besar untuk tentukan harga.

“(Justeru) mesti ada kekuatan politik, tekad untuk menyatakan dalam dasar ekonomi (untuk) maslahat awam dan orang ramai diberi keutamaan,” katanya seperti dilapor.

Pada 6 Disember, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenal pasti beberapa sumber luar sebagai langkah jangka pendek untuk menampung kekurangan telur ayam di pasaran.

Menterinya Mohamad Sabu memaklumkan pihaknya juga tidak akan berkompromi dalam memastikan bekalan yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan.

 


Pengarang :