Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menurap Jalan B48 Dengkil, Sepang pada 6 Disember 2022 selepas 24 jam menerima aduan di Twitter. Foto Twitter Infrasel
AGENSISELANGOR

Infrasel baiki dua lagi jalan selepas 24 jam terima aduan di Twitter

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 7 DIS: Dua lagi jalan selesai dibaiki syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) susulan aduan orang ramai di Twitter.

Agensi itu memaklumkan kedua-dua jalan di daerah Sepang dan Gombak diturap dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

“Kerja penurapan semalam (6 Disember) membabitkan Jalan B48 Dengkil, Sepang dan pada 30 November melibatkan Jalan Rawang 2, Gombak,” kata agensi itu di Twitter.

Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menurap Jalan Rawang 2, Gombak pada 30 November 2022 selepas 24 jam menerima aduan di Twitter. Foto Twitter Infrasel

Sepanjang November, beberapa jalan negeri dibaiki antaranya Jalan Bukit Badak dan Jalan Padang Jawa, Petaling, Jalan Kris 1, Kuala Selangor dan Jalan PT 1 Bagan Terap, Panchang Bedena, Sabak Bernam.

Agensi itu meminta orang ramai teruskan membuat aduan dengan memuat naik ciapan di Twitter bersama tanda pagar #infrasel #namajalan #daerah jika berlakunya kerosakan jalan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti mereka menerusi Twitter.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan proses pelaporan kerosakan jalan di Selangor dipermudahkan dengan aduan di platform berkenaan sebelum ditapis dan disemak secara automatik.


Pengarang :