Skuad hoki lelaki kebangsaan tumpas ditangan Ireland 3-0 diperingkat separuh akhir saingan Piala Negara-Negara 2022 di Afrika Selatan pada 3 November 2022. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
AGENDASUKANKINI

Ireland ranap impian skuad hoki negara ke final Piala Negara-Negara

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Ireland menyekat hasrat skuad hoki lelaki kebangsaan untuk mara ke perlawanan akhir selepas menang bergaya 3-0 pada peringkat separuh akhir saingan Piala Negara-Negara 2022 di Afrika Selatan, hari ini.

Selepas terikat tanpa jaringan pada suku pertama dan kedua, Ireland akhirnya memecah kebuntuan pada suku ketiga apabila jaringan padang oleh Benjamin Walker meletakkan mereka di depan 1-0 pada minit ke-40 dalam perlawanan berlangsung di Potchefstroom.

‘Speedy Tigers’ terus ketinggalan selepas Jeremy Duncan meledak gol kedua pasukan dari Eropah itu menerusi jaringan padang selang dua minit kemudian.

Duncan menjadi duri dalam daging buat skuad kebangsaan kendalian A. Arul Selvaraj apabila menggandakan jaringan peribadi pada minit ke-51, juga menerusi jaringan padang, sekali gus menoktahkan kemenangan buat Ireland untuk menempah tiket ke final, esok.

Ireland akan membuat perhitungan pada final menentang sama ada Korea Selatan ataupun tuan rumah, Afrika Selatan yang akan berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini.

Cabaran Malaysia masih belum terhenti pada kejohanan tersebut apabila dijadualkan beraksi pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, juga esok.

Sementara itu, ketua jurulatih Arul Selvaraj jelas hampa dengan barisan pertahanan yang gagal mengawal bola sebaik mungkin sehingga menyaksikan pihak lawan mudah membolosi gawang negara.

“Kita juga tidak main game kita sepenuhnya, masih kekurangan usaha dan tenaga,” katanya dalam satu video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia kepada media.

Sehubungan itu, beliau berharap anak buahnya segera bangkit daripada kekecewaan dengan mempamerkan taring sebenar bagi memastikan mereka dapat menamatkan kempen dengan muncul pasukan ketiga terbaik kejohanan esok. – BERNAMA


Pengarang :