EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail mendengar taklimat mengenai cadangan awal kerja pembaikan tanah mendap di kawasan parkir Pangsapuri Indahria di Seksyen 22, Shah Alam pada 23 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Isu tanah mendap di Pangsapuri Indahria, pemaju digesa tampil atau dikena tindakan

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 24 DIS: Kerajaan negeri menggesa pemaju Pangsapuri Indahria di Seksyen 22, Batu Tiga di sini, tampil dan bertanggungjawab menyelesaikan isu tanah mendap yang dihadapi penduduk di situ.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata tindakan tegas akan diambil termasuk dihalang membina projek perumahan di negeri ini jika pemaju terus bersikap lepas tangan dalam isu tersebut.

“Kita tidak mahu isu tanah mendap sehingga membahayakan penduduk seperti yang berlaku di Pangsapuri Indahria berulang lagi di tempat lain.

“Sebab itu kita gesa pemaju di negeri ini mengutamakan keselamatan dan meneliti garis panduan apabila membangunkan kawasan perumahan melibatkan kawasan cerun dan berbahaya,” kata Rodziah Ismail selepas melawat kawasan mendapan di pangsapuri terbabit semalam..

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengutamakan aspek tersebut apabila memberi kebenaran merancang projek perumahan kepada pemaju.

Pangsapuri 15 tingkat berkenaan siap pada 2006 dan tanah mendap di kawasan parkir itu bermula sejak 2009.

Keretakan itu dipercayai berpunca daripada rekahan tanah di kawasan tempat letak kenderaan yang terletak bersebelahan pangsapuri 15 tingkat terbabit yang menyebabkan tiang struktur parkir condong.

Keadaan itu turut menyebabkan puluhan keluarga berpindah berikutan bimbang mendapan tanah berterusan setiap kali berlaku gegaran termasuk ketika dilalui kenderaan berat.


Pengarang :