Penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) bersorak apabila mendengar amanat dari pimpinan HARAPAN ketika Ceramah Mega HARAPAN Gombak sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Pinggiran Batu Caves, Gombak pada 17 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Jajaran baharu negara: HARAPAN-BN bentuk gabungan, Anwar dilantik PM

SHAH ALAM, 29 DIS: Bermula pilihan raya negeri Johor pada Mac, pembubaran parlimen diikuti proses pilihan raya umum pada 19 November menjadi kemuncak suasana politik tanah air sepanjang 2022.

Buat pertama kali dalam sejarah tanah air, tiada gabungan memperoleh majoriti sekali gus mendorong kerjasama bagi membentuk kerajaan persekutuan sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya dilantik sebagai perdana menteri.

Yang di-Pertuan Agong bersama sembilan Raja-raja Melayu memainkan peranan penting bagi mereda keresahan umum ketika situasi parlimen tergantung. Wartawan AMIN RIDZUAN ISHAK menyorot detik-detik penting tersebut.

Suhu politik negara memuncak pada 2022. Pakatan kerajaan yang rapuh dan pertelagahan antara satu sama lain membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Parlimen.

Negeri di selatan itu mengikuti jejak langkah jirannya, Melaka yang terlebih dahulu mengadakan pilihan raya pada November 2021.

Isyarat itu sebenarnya mula dihidu selepas kematian wakil rakyat Kempas Datuk Osman Sapian pada 21 Disember 2021. Pada masa sama, Datuk Seri Hasni Mohamad, menteri besar ketika itu, berasa dirinya ‘tidak selesa’ dengan majoriti semasa kerajaan pimpinannya.

Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan negeri bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS hanya memiliki 28 kerusi manakala Pakatan Harapan (HARAPAN) pula 27 kerusi.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan akhir untuk proses pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada tinjauan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Kluang pada 11 Mac 2022. Foto BERNAMA

Meski berkelebihan satu kerusi, namun daripada perspektif politik pembubaran DUN Johor dilihat perlu susulan pertelagahan BN dengan Bersatu serta ugutan wakil rakyat untuk menarik sokongan, mirip situasi di Melaka.

Keadaan itu mewujudkan potensi lompat parti memandangkan rang undang-undang pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi melarang wakil rakyat bertukar parti belum dibentang di Dewan Rakyat dan negeri.

Pada 22 Januari, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar memperkenan DUN Johor dibubar dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pilihan raya negeri itu.

Hasilnya, BN menang 40 kerusi sekali gus mendapat majoriti dua pertiga. HARAPAN pula menawan 13 kerusi termasuk satu dimenangi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang bertanding buat pertama kali.

Perikatan Nasional (PN) iaitu gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan mencatat prestasi buruk apabila hanya menang tiga kerusi.

Namun di sebalik kejayaan Hasni memandu kemenangan BN dan diangkat calon menteri besar sepanjang kempen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Datuk Onn Hafiz Ghazi pula mengangkat sumpah ke jawatan itu, tiga hari selepas pilihan raya.

Desakan bubar

Kejayaan BN menang besar di Johor meningkatkan keyakinan Umno supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) disegerakan. Tekanan dihala kepada perdana menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi acap kali mengulangi pendirian mahu pilihan raya umum diadakan dan Ismail tidak mampu menahan asakan itu lagi. Tepat jam 3 petang 10 Oktober, naib presiden Umno itu mengumumkan pembubaran parlimen.

Pembubaran sembilan bulan sebelum penggal parlimen berakhir pada 15 Julai 2023 dikritik hebat. Ramai bimbang pilihan raya terpaksa diadakan dalam keadaan rakyat terpaksa meranduk banjir memandangkan peralihan Monsun Timur Laut bermula November hingga Februari 2023.

SPR menetapkan 19 November sebagai hari pengundian. Kebimbangan berlaku banjir menjadi realiti, beberapa kawasan di negeri ini iaitu Meru, Klang, Kapar dan Shah Alam dilanda banjir kilat pada 10 November.

Pengundi menunaikan tanggungjawab dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Sekolah Menengah Kebangsaan Perimbun, Cheras pada 19 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Lebih 21 juta pengundi termasuk belia berusia 18 tahun dan individu didaftar secara automatik ghairah menunaikan tanggungjawab apabila pusat pengundian dibuka 8 pagi pada hari buang undi.

Selesai proses pengundian tepat jam 6 petang, debaran bermula dengan keputusan pertama di Parlimen Igan disusuli kawasan lain.

Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai senarai pemenang daripada gabungan itu dengan kemenangan di Tambun. Beberapa ‘kerusi dilarikan’ menerusi Langkah Sheraton juga dimenangi semula.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menewaskan penyandang Parlimen Gombak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan majoriti 12,729 undi.

Nama besar kalah

Beberapa nama besar tewas antaranya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Awal pagi 20 November, SPR mengumumkan tiada parti memperoleh majoriti daripada 219 kerusi. Selain Padang Serai yang ditangguh akibat kematian seorang calon M Karupaiya, keputusan di Kota Marudu dan Baram belum diperoleh kerana masalah cuaca.

HARAPAN yang bergabung dengan Muda menjadi blok terbesar dengan 82 kerusi diikuti PN + PAS (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6), Parti Warisan Sabah (3), Bebas (2) dan satu untuk Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Pada keesokannya, SPR mengumumkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) menang di Kota Marudu manakala GPS bertambah kepada 23 kerusi apabila menawan Baram. PN menambah satu kerusi menerusi kemenangan di Padang Serai pada 7 Disember.

Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) memacak bendera menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Jalan Lapangan Terbang Subang, Shah Alam pada 7 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Buat pertama kali, tiada gabungan memperoleh majoriti mudah. Bermulalah debaran pemilihan perdana menteri kesepuluh dan pembentukan kerajaan persekutuan.

Proses bermula selepas keputusan rasmi apabila Istana Negara meminta ketua parti dan gabungan mengemukakan calon perdana menteri pada jam 2 petang 21 November. Ia kemudian dilanjutkan sehingga 22 November.

PN yakin membentuk kerajaan apabila pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa mendapat sokongan 115 wakil rakyat. Selain daripada PN, 10 ahli parlimen BN, GPS (23), GRS (6), Bebas (2) dan PKDM (1).

Calon perdana menteri

Ia diperkuat dengan kenyataan Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang sedia membentuk kerajaan campuran bersama PN, BN dan GRS atas andaian BN setuju kerjasama PN-BN, namun Ahmad Zahid yang juga pengerusi BN menafikannya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman menegaskan komponen parti gabungan terikat dengan undang-undang antilompat dan tidak boleh meninggalkan gabungan sedia ada atau ahli parlimen itu terpaksa mengosongkan kerusi.

Beliau menjelaskan akta itu membenarkan gabungan politik untuk menyokong gabungan lain secara ‘en bloc’ (bergabung). Rang Undang-undang Anti Lompat Parti itu bertepatan hasrat HARAPAN dan kerajaan seperti termaktub dalam memorandum persefahaman (MoU) dimeterai pada 13 September 2021.

Selepas tamat tempoh menyerahkan calon perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapati tiada ahli Dewan Rakyat mendapat kepercayaan.

Titah Agong

Lantas Baginda menitahkan Anwar, Muhyiddin dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menghadap. Mereka diberi masa membentuk kerajaan perpaduan termasuk antara HARAPAN dan PN, namun Muhyiddin menolaknya.

Pada 23 November, wakil BN termasuk Ahmad Zahid dititah menerima cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan. Wakil GPS Datuk Seri Fadillah Yusof turut menghadap dan berpendirian menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menyelesaikan kemelut itu.

Pada malam sebelum mesyuarat Seri Paduka dan Majlis Raja-raja untuk membincangkan perkara itu, iaitu pada 24 November, Majlis Kerja Tertinggi Umno memutuskan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan tetapi bukan diterajui PN.

Selepas perbincangan khas Raja-raja, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Anwar sebagai perdana menteri dan ahli Parlimen Tambun itu mengangkat sumpah pada jam 5 petang hari sama.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan sebagai perdana menteri ke-10 di Istana Negara pada 24 November 2022. Foto BERNAMA

Anwar disahkan mendapat sokongan wakil HARAPAN, BN, GPS, GRS, Bebas, PBM dan PKDM. Parti Warisan Sabah yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal lebih awal mengemukakan sokongan penubuhan kerajaan PH-BN.

Pada 2 Disember, Anwar yang memegang portfolio menteri kewangan mengumumkan Ahmad Zahid dan Fadillah sebagai timbalan perdana menteri. Ahmad Zahid juga dilantik menteri kemajuan desa dan wilayah manakala Fadillah menteri perladangan dan komoditi.

Menteri lain ialah Anthony Loke (Pengangkutan), Mohamad Sabu (Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Rafizi Ramli (Ekonomi), Nga Kor Ming (Pembangunan Kerajaan Tempatan), Datuk Seri Mohamad Hasan (Pertahanan) dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya).

Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Aziz (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Fahmi Fadzil (Komunikasi dan Digital), Fadhlina Sidek (Pendidikan), Datuk Seri Nancy Shukri (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Seri Salahuddin Ayub (Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).

Saifuddin (Dalam Negeri), Dr Zaliha Mustafa (Kesihatan), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Luar Negeri), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pendidikan Tinggi), Chang Lih Kang (Sains dan Teknologi), Datuk Seri Azalina Othman (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).

Datuk Ewon Benedick (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Armizan Mohd Ali (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Tiong King Sing (Pelancongan), Hannah Yeoh (Belia dan Sukan), Datuk Aaron Ago Dagang (Perpaduan) dan Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar (Agama).

Sokongan terhadap Anwar disahkan menerusi usul percaya pada 19 Disember dan mendapat dukungan majoriti menerusi undi suara dalam kalangan anggota Dewan Rakyat.

Anwar pada sidang sama turut membentang belanjawan mini khas bernilai RM107 bilion bagi menampung perbelanjaan operasi kerajaan dan inisiatif antaranya bantuan awal persekolahan.

Pembentangan itu dibuat berikutan Belanjawan 2023 yang dibentang kerajaan terdahulu pada 7 Oktober belum diluluskan akibat pembubaran parlimen.

PRU15 menyaksikan berlaku ‘gelombang hijau’ apabila PAS mencatat kemenangan 43 kerusi berbanding 18 pada pilihan raya umum 2018. Ia turut meluaskan pengaruh ke Perlis, Pahang, Perak dan Melaka selain mengekalkan penguasaan di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Memetik laporan Free Malaysia Today, penganalisis politik Dr Mazlan Ali berpendapat PN yang dianggotai PAS berjaya menguruskan kempen media sosial terutama menerusi TikTok yang menjadi sumber maklumat politik bagi pengundi muda.

Keadaan itu menyebabkan gabungan itu mampu meraih undi golongan yang dilihat lebih tertumpu kepada isu perkauman dan agama.

Tarikh penting peristiwa politik

  • 22 Januari: Bubar Dewan Undangan Negeri Johor
  • 12 Mac: Pilihan raya Johor berlangsung. BN menang 40 kerusi, HARAPAN (13), PN (3)
  • 10 Oktober: Dewan Rakyat dibubarkan
  • 19 November: Pilihan raya umum dijalankan. HARAPAN menang 82 kerusi, PN + PAS (74), BN (30), GPS (23), GRS (6), Parti Warisan Sabah (3), Bebas (2) dan PBM (1) serta PKDM (1)
  • 21 November: Anwar berunding dengan parti-parti politik membentuk kerajaan persekutuan
  • 22 November: Anwar, Muhyiddin dan Abdul Hadi dititah mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara
  • 23 November: Ahmad Zahid dan Fadillah dititah mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara
  • 24 November: Yang di-Pertuan Agong mengadakan mesyuarat khas bersama Raja-raja Melayu. Hari yang sama selepas mesyuarat, Anwar dititah ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri
  • 2 Disember: Anwar umum jemaah menteri
  • 19 Disember: Anwar dapat sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat dalam usul undi percaya pada hari pertama sidang parlimen penggal ke-15

 


Pengarang :