EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jajaran ECRL muktamad, libat empat daerah sepanjang 90.72km

SHAH ALAM, 2 DIS: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor melibatkan empat daerah dengan jajaran sepanjang 90.72km, maklum EXCO Pengangkutan Ng Sze Han.

Beliau berkata jajaran Seksyen C1B dan C2 di Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang berkeluasan 758.4 hektar merangkumi laluan bertingkat, aras tanah dan terowong.

“Jajaran ini termasuk 32 lot hutan simpan. Daripada jumlah itu, pembinaan terowong sepanjang 28.5km,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong di sini.

Bercakap dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, Sze Han yang juga Ahli Dewan Negeri Kinrara berkata laluan jajaran utara kekal meski pentadbiran persekutuan kini berubah.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 14 September 2022 meluluskan secara dasar pengesahan jajaran ECRL bagi Seksyen C1B dan C2 di Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri kekal dengan pendirian memilih jajaran selatan melibatkan Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, pentadbiran bersetuju menerima cadangan jajaran utara dan berharap projek mengambil kira kesan terhadap alam sekitar dan dampak sosial.

Pada Mei, bekas menteri pengangkutan memaklumkan ECRL sepanjang 665km dengan kos anggaran RM50.27 bilion dijangka siap pada 2026.

 


Pengarang :