Ketua Hakim Syariah Selangor Dato’ Mohammad Adib Husain bercakap kepada media selepas majlis perasmian persidangan Komuniti Sulh dan Rakan Sokongan Keluarga Negeri Selangor di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 15 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jakess perkenal sistem e-Naf bagi tangani isu pertikaian nafkah anak

SHAH ALAM, 16 DIS: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) memperkenalkan sistem penentuan kadar nafkah anak bagi menangani isu pertikaian pasangan suami isteri berkait perkara itu selepas perceraian.

Ketua Hakim Syarie Selangor berkata sistem e-Naf yang siap dibangunkan lebih sebulan lalu menggunakan formula perkiraan mengikut garis panduan dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Dato’ Mohammad Adib Husain menjelaskan anggaran nilai nafkah melalui sistem itu boleh dijadikan maklumat awal selain panduan sebelum mendapatkan nasihat perundangan.

“Kewujudan sistem ini diharap membantu pihak yang mana sebagai orang awam pastinya tidak mengetahui bentuk nafkah sebenar dan kadar jumlah nafkah anak yang berpatutan.

“Malah ia membantu pihak menyediakan draf persetujuan berkaitan nafkah anak sekiranya persetujuan dicapai selain mempercepat penyelesaian dan menjimatkan kos pendengaran kes,” katanya pada sidang media semalam.

Terdahulu sistem e-Naf dilancarkan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni di Hotel Mardhiyyah di sini sempena Persidangan Komuniti Sulh dan Rakan Bahagian Sokongan Keluarga.

Dalam pada itu, Mohammad Adib mengakui nafkah anak menjadi pertikaian tertinggi suami isteri sama ada semasa dalam perkahwinan mahupun selepas perceraian.

Tambahnya, pengabaian nafkah oleh si bapa menjadi punca tercetusnya pertikaian terbabit, manakala ibu yang menjadi penjaga anak akan meletakkan jumlah tertentu berdasarkan kemampuan bapa.

“Itu yang lebih menjadi pertimbangannya berbanding menghasilkan suatu jumlah yang benar-benar wajar bagi keperluan setiap anak. Bapa pula menegaskan jumlah tersebut adalah di luar kemampuannya atas sebab tanggungan lain.

“Maka pertikaian berkaitan kadar nafkah berpatutan akan berterusan di sebalik ego dan anggapan setiap pihak seterusnya memberikan kesan kepada hubungan serta tumbesaran anak-anak itu sendiri,” katanya.


Pengarang :