Ketua Hakim Syariah Selangor Dato’ Mohammad Adib Husain berucap ketika majlis perasmian persidangan Komuniti Sulh dan Rakan Sokongan Keluarga Negeri Selangor di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 15 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jakess selesai 7,731 kes tuntutan selepas cerai menerusi prosiding Sulh

SHAH ALAM, 15 DIS: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) berjaya menyelesaikan 7,731 kes tuntutan selepas perceraian menerusi pendekatan Sulh (perdamaian) sejak 2017 hingga Oktober lalu.

Ketua Hakim Syarie Jakess Dato’ Mohammad Adib Husain berkata jumlah itu merupakan 71 peratus daripada keseluruhan 10,351 kes yang dijalankan sepanjang tempoh berkenaan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,174 kes seperti tuntutan hak penjagaan anak diselesaikan secara baik sepanjang tahun ini setakat Oktober.

“Angka ini menggambarkan bahawa prosiding Sulh mendapat sambutan baik daripada masyarakat dan menunjukkan kesan positif di Mahkamah Syariah Jakess,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas Persidangan Komuniti Sulh dan Rakan Bahagian Sokongan Keluarga di Hotel Mardhiyyah di sini hari ini.

Mohammad Adib berkata pihaknya turut menawarkan prosiding Sulh secara dalam talian sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dan diteruskan hingga kini termasuk fizikal.

“Demi kemaslahatan ummah, Jakess menawarkan prosiding Majlis Sulh secara dalam talian bagi kes-kes yang mempunyai persetujuan bersama.

“Ia merupakan inisiatif Jakess untuk memastikan akses keadilan dapat diberikan kepada semua peringkat masyarakat seiring dengan norma baharu yang diamalkan,” katanya lagi.


Pengarang :