Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyapa warga emas yang sedang memeriksa tekanan darah dalam program Selangor Saring sempena Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Jangka hayat meningkat: Negeri rangka dasar pembangunan warga emas

GOMBAK, 13 DIS: Kerajaan Selangor mula merangka dasar pembangunan khusus untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu sejajar dengan peningkatan jangka hayat golongan terbabit daripada 65 kepada 78 tahun terutama golongan wanita.

“Jadi terdapat keperluan merangka dasar untuk golongan itu. Mungkin memikirkan pembangunan pusat warga emas seperti Tadika yang menempatkan kanak-kanak.

“Kalau di beberapa buah negara Eropah, pusat warga emas digandingkan dengan Tadika supaya warga emas boleh jaga cucu-cucu mereka. Jadi ini antara (usaha) yang sedang diaturkan,” katanya semalam.

Berucap pada program pertemuan dengan penduduk Desa Pendidik Keramat Permai AU1C, Hulu Kelang di sini, ahli Parlimen Gombak bagaimanapun bimbang dengan kadar kelahiran di Selangor rendah.

“Kadar kelahiran kita sebenarnya satu keluarga 1.9 peratus, tak sampai dua peratus. Dalam tempoh tahun ke depan, kelompok yang aktif bekerja jadi kurang.

“Tetapi warga emas jangka hayat panjang dan ini antara cabaran yang kita terpaksa urus,” katanya lagi.


Pengarang :