Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada program Jelajah Selangor Penyayang di Persiaran As-Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah bantuan rakyat lengkap dianjur, berakhir di Hulu Selangor

HULU SELANGOR, 4 DIS: Program Jelajah Selangor Penyayang (JSP) dianjur sejak Jun bagi menghebahkan inisiatif ditawar Kerajaan Negeri selesai dilaksanakan di semua daerah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bermula di Taman Kosas Hulu Langat, kempen itu memperkenalkan inisiatif Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memperkasa rakyat ke arah kehidupan lebih sejahtera.

“Kita sudah lengkapkan kesemua siri sembilan daerah untuk jelaskan mengenai ISP. Kita juga sediakan reruai agensi berkaitan serta anjur beberapa aktiviti berfaedah.

“Hasil pemerhatian terutama di siri-siri akhir program, kita lihat skim air percuma (Skim Air Darul Ehsan) serta Selangor Saring mendapat sambutan ramai,” katanya berucap di JSP Hulu Selangor hari ini.

Kali terakhir program itu diadakan sebelum pilihan raya umum ke-15 iaitu di Sepang selain turut dianjur di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam serta Stadium Sultan Sulaiman, Klang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai pada program Jelajah Selangor Penyayang di Persiaran As-Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Acara sama turut berlangsung di Dataran Pantai Morib Kuala Langat, Stadium Utama Kuala Selangor, Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Padang Awam Batu Caves dan Stadium Sungai Besar.

Sementara itu Amirudin berkata Kerajaan Negeri sentiasa memantau program ISP bagi memastikan keberkesanannya kepada penduduk mengikut keadaan semasa.

“Setiap tahun sejumlah RM600 juta dibelanjakan untuk menjaga kebajikan rakyat. Untuk program ISP, kita tambah baik, cantumkan skim untuk memastikan program segar.

“Walaupun Selangor menumpukan sektor ekonomi dan menggalakkan pelaburan namun dalam masa sama kita jaga kebajikan. Kita pastikan tiada rakyat tertinggal di belakang,” katanya.


Pengarang :