Keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

JKR laksana kerja pencegahan jangka pendek elak runtuhan susulan

PUTRAJAYA, 19 DIS: Kerja-kerja pencegahan pembaikan jangka pendek iaitu menutup segera permukaan cerun yang terdedah dengan tarpaulin sheet di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di Batang Kali, Selangor, telah dilaksanakan bagi mengelakkan runtuhan susulan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan semalam memaklumkan pihaknya turut membuat pengalihan air saliran permukaan dan longkang sedia ada daripada longkang sebelah kiri ke longkang sebelah kanan untuk mengelakkan air larian masuk ke dalam kawasan runtuhan, selain memasang tilt sensor bagi memantau pergerakan tanah di lokasi berkenaan.

Menurut kenyataan itu langkah berkenaan diambil susulan pemeriksaan awal pasukan Forensik dan Kejuruteraan Cerun JKR yang mendapati terdapat aliran air bawah tanah yang aktif dikesan di lokasi cerun runtuh terutamanya dalam kawasan perkhemahan.

“Penemuan awal mendapati berlaku dua kegagalan cerun di lokasi sama dengan sela masa 20 minit hingga 30 minit antara kedua-duanya.

“Kegagalan cerun yang pertama berkemungkinan besar berlaku di kawasan perkhemahan yang mengakibatkan kawasan di kaki (toe) cerun jalan raya menjadi lemah dan berlakunya runtuhan susulan (kedua) yang lebih besar,” menurut JKR.

Insiden runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu pada 2.42 pagi Jumaat lepas dengan anggaran isi padu tanah runtuhan sebanyak 450,000 meter padu, mengorbankan 24 orang daripada keseluruhan 94 mangsa setakat petang semalam, 61 orang selamat dan sembilan masih hilang.

Menurut kenyataan itu penemuan turut mendapati bahu jalan B66 Seksyen 13.0 dari arah Gohtong Jaya ke Batang Kali telah jatuh dan rosak akibat runtuhan cerun, selain terdapat retakan (tension cracks) secara memanjang pada lorong kiri laluan menghala ke Batang Kali kesan daripada runtuhan tersebut.

“Berdasarkan hasil penemuan itu, dipercayai ketepuan tanah dan tekanan air liang tanah yang tinggi akibat pengumpulan air bawah tanah pada bahagian bawah cerun di kawasan perkhemahan, telah melemahkan kaki cerun jalan B66 seterusnya menyebabkan kegagalan retrogresif kepada cerun jalan,” menurut JKR.

JKR turut memaklumkan tindakan siasatan tanah terperinci dijangka dilaksanakan di tapak berkenaan sejurus operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.

Selain itu, jalan negeri B66 laluan Batang Kali – Genting Highlands ditutup sepenuhnya pada 16 Dis susulan daripada kejadian tanah runtuh di Seksyen 13.0 laluan terbabit.

– BERNAMA


Pengarang :