Majlis simbolik penyerahan replika cek MAIS disampaikan Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS Nurhani Salwa Jamaluddin kepada Sofizah di MAIS semalam. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENDANASIONAL

Johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa dari Selangor dapat tajaan umrah

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 2 DIS: Johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa (Qariah) 2022 Sofizah Mousin menerima sumbangan tajaan umrah bernilai RM10,000 daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

MAIS memaklumkan sumbangan berkenaan sebagai penghargaan atas kejayaan Sofizah mengharumkan nama Selangor dan Malaysia di peringkat antarabangsa pada Oktober lalu.

Sofizah berkata beliau terkejut dan bersyukur dengan penghargaan dan hadiah yang diterima daripada MAIS itu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih atas penghargaan yang amat bernilai ini. InsyaAllah pada tahun hadapan saya mengerjakan umrah bersama suami. Terima kasih kerana sentiasa memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Majlis simbolik penyerahan replika cek MAIS disampaikan Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS Nurhani Salwa Jamaluddin kepada Sofizah di MAIS semalam.

Sofizah Mousin muncul juara qariah menewaskan 12 peserta dari 28 negara yang bertanding bagi memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran secara bertaranum pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2022 di Bahrin.

Sebelum ini Sofizah turut dinobat johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M pada program yang diadakan di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, Johor, 17 Jun lepas.


Pengarang :