Anggota bomba dan penyelamat melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Johor tutup semua Taman Eko Rimba, trek daki dalam hutan simpan kekal

JOHOR BAHRU, 17 DIS: Kesemua Taman Eko Rimba, trek pendakian dan laluan kenderaan pacuan empat roda (4×4) di dalam hutan simpan kekal di Johor, ditutup kepada orang awam mulai hari ini.

Arahan itu dikeluarkan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) Datuk Salim Aman menerusi notis yang dimuat naik di Facebook rasmi jabatan itu.

Menurut notis tersebut, penutupan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian atau kemalangan tidak diingini berlaku berikutan musim tengkujuh.

“Sebarang pelanggaran terhadap notis ini akan diambil tindakan di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor,” katanya.

Berdasarkan portal rasmi JPNJ, antara Taman Eko Rimba di negeri itu adalah Gunung Arong, Mersing; Gunung Belumut, Kluang; Panti, Kota Tinggi; Gunung Pulai, Pontian; Gunung Pulai II, Pontian; Soga Perdana, Batu Pahat; Sungai Bantang, Segamat dan Taka Telor, Segamat.

Semalam, media melaporkan 21 mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm di Batang Kali disahkan meninggal dunia setakat malam tadi manakala 12 lagi mangsa masih belum ditemukan.

– BERNAMA


Pengarang :