Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat pemeriksaan ketika Operasi Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar pada 14 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

JPJ keluarkan 632 notis saman dalam operasi di Plaza Tol Awan Besar

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan 632 notis saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi bersepadu selama dua jam di Plaza Tol Awan Besar (menghala Bukit Jalil) di sini, malam tadi.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia Datuk Lokman Jamaan berkata daripada jumlah itu, 498 notis saman melibatkan lima kesalahan utama iaitu gagal mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong garisan berkembar dan memandu melebihi had laju.

Katanya daripada jumlah notis saman itu juga, 34 notis adalah larangan penggunaan kenderaan, 81 notis arah periksa kenderaan, 10 notis arah timbang dan sembilan notis penahanan kenderaan melibatkan enam motosikal.

“Dalam operasi ini, sebanyak 1,122 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 401 kenderaan dikenakan tindakan pelbagai kesalahan.

“Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memeriksa 15 kenderaan dan lapan daripada kenderaan yang diperiksa itu diambil tindakan atas kesalahan bunyi bising,” katanya pada sidang media di plaza tol berkenaan.

Sementara itu, dalam operasi bersepadu berkenaan, Jabatan Imigresen menahan lapan warga Myanmar, dua warga Bangladesh dan masing-masing seorang warga India dan Indonesia kerana masalah dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) juga menahan enam individu kerana disyaki terlibat kes penyalahgunaan dadah jenis syabu dan ganja.

“Op bersepadu ini akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti secara dekat kadar pematuhan peraturan jalan raya ke arah mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya menjelang musim cuti persekolahan,” katanya.

Lokman berkata operasi itu melibatkan Polis Diraja Malaysia, AADK, JAS, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan Datuk Razali Mohamad.

– BERNAMA


Pengarang :