Penduduk yang terperangkap akibat banjir diselamatkan anggota bomba di Kampung Balik Bukit, Bandar Permaisuri, Terengganu pada 18 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

JPS keluar amaran dua hari sebelum banjir, bantu Nadma selaras operasi

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Semua maklumat hebahan berhubung situasi banjir di negara ini disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi melakukan koordinasi operasi agensi bencana di peringkat negeri dan daerah.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Dr Md Nasir Md Noh berkata sejak Monsun Timur Laut (MTL) 2022-2023 bermula pada 7 Nov lepas, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS menggunakan model ramalan banjir Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) serta mengeluarkan 32 buletin amaran banjir dua hari lebih awal kepada penduduk di negeri-negeri terlibat.

Beliau berkata terdapat empat komponen utama di bawah PRAB iaitu pengesanan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), ramalan dan hebahan banjir serta senarai kawasan panas (hotspot) banjir mengikut negeri bagi tahun 2022 yang melibatkan 5,496 kawasan seluruh negara.

“Maklumat ramalan dan amaran banjir ini berjaya dilaksanakan melalui pelaksanaan PRAB, yang bermula pada tahun 2015 dan dilaksanakan secara berfasa. Maklumat itu dikongsikan kepada Nadma sebelum MTL untuk persediaan awal bagi semua agensi terlibat.

“Bagi tujuan hebahan yang lebih meluas peringkat orang awam, hebahan amaran banjir turut dipaparkan di portal Publicinfobanjir, media sosial rasmi JPS seperti facebook, twitter, dan Instagram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan media hari ini yang mendakwa negara menanggung kerugian sebanyak RM36 bilion setahun akibat banjir berikutan sistem amaran banjir yang lemah.

Menurut Md Nasir, PRABN turut mengeluarkan 63 hebahan ramalan aras air yang melibatkan Kedah, Selangor, Kelantan, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan dan Sarawak, manakala bagi kejadian banjir kilat, sebanyak 27 Notis Kesiapsiagaan Banjir Kilat dikeluarkan di seluruh negara.

Katanya JPS juga menyiapkan 36 Peta Hazard Banjir dan dikongsikan dari semasa ke semasa kepada agensi kerajaan berkaitan dan orang awam boleh merujuk kawasan hot spot banjir dengan lebih mudah.

“Kami juga melaksanakan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam kepada penduduk di Pantai Timur khususnya di lembangan Sungai Kelantan, Sungai Terengganu dan Sungai Pahang untuk kesiapsiagaan menghadapi banjir berdasarkan amaran banjir dikeluarkan JPS,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :