Laman web rasmi info banjir bagi kemudahan awam dalam menghadapi bencana musim banjir dipamerkan pada sesi sembah taklimat persiapan bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ampang, Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

JPS keluar notis risiko banjir kilat di lima negeri dalam tempoh 24 jam

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Beberapa kawasan di Johor, Kedah, Pahang, Perak dan Pulau Pinang berisiko banjir kilat dalam tempoh 24 jam sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku, menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Notis PRABN yang dikeluarkan pada 4 petang ini memaklumkan empat daerah di Johor dijangka terlibat ialah Johor Bahru iaitu di Plentong; Kota Tinggi (Sedili Besar, Sedili Kechil, Tanjung Surat, Ulu Sungai Sedili Besar); Mersing (bandar Padang Endau, Padang Endau, Triang); dan Muar (bandar, Bandar Maharani, Jalan Bakri, Ayer Baloi) dan di semua kawasan sekitarnya.

Di Kedah pula ialah di daerah Bandar Baharu melibatkan lokasi di bandar Bandar Baharu, Pekan Lubuk Buntar, Sungai Kecil serta kawasan sekitarnya.

Di Pahang melibatkan empat daerah iaitu Kuantan (bandar Kuantan, Kuala Kuantan, Pulau Manis, Sungai Karang); Maran (bandar Maran, Chenor, Pekan); Pekan (Bebar,Langgar, Pekan, Dong); dan Rompin; serta kawasan sekitarnya.

Tiga daerah di Perak pula meliputi kawasan Hillir Perak (Changkat Jong, Durian Sebatang); Kerian (Bagan Serai, Kuala Kurau, Parit Buntar); Larut, Matang dan Selama (Bukit Gantang); dan Perak Tengah (Bota, Layang Layang, Pasir Salak).

Di Pulau Pinang pula lokasi ‘hotspot’ adalah di daerah Seberang Perai Selatan iaitu di Mukim 11, Mukim 7, Nibong Tebal serta kawasan sekitarnya.

Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh tersebut.

“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” menurut notis itu.

– BERNAMA


Pengarang :