Orang rama tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas yang di jual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Bukit Lanjan di Pangsapuri Sri Meranti, Petaling Jaya pada 19 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Jualan murah: 300 ekor ayam, 200 papan telur habis terjual kurang dua jam

PETALING JAYA, 19 DIS : Semua barangan asas di program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.

Pegawai Penyelaras Amran Ismail berkata barangan laris tersebut adalah 300 ekor ayam, 300 pek daging, 200 botol minyak masak dan 200 papan telur.

Penyelaras Jualan Ehsan PKPS DUN Bukit Lanjan Amran Ismail. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita sampai seawal jam 7 pagi untuk buat persiapan dan sekitar jam 8 pagi tengok orang sudah mula beratur untuk dapatkan barangan keperluan mereka.

“Bagaimanapun, kita tetap beroperasi jam 10 pagi dan Alhamdulillah selepas sahaja dibuka kepada umum banyak barangan asas habis terjual hanya dalam tempoh beberapa jam sahaja,” katanya.

Beliau ditemui pada program jualan barangan asas murah di Pangsapuri Sri Meranti Bandar Sri Damansara di sini.

Beliau menjelaskan barangan kering keluaran jenama Ehsan oleh PKPS turut dijual seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.

“Semua barangan ini pun hampir semua habis terjual cuma kicap, sos cili dan biskut sahaja tinggal beberapa pek lagi, yang lain kebanyakan habis,” katanya.

Inisiatif jualan murah itu menyediakan barangan asas seperti ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Program yang berlangsung di 56 DUN dimulakan sejak 6 September lepas sepatutnya berakhir 6 Disember ini, namun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif itu disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.

Kakitangan PKPS membungkus ayam pelanggan ketika program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Bukit Lanjan di Pangsapuri Sri Meranti, Petaling Jaya pada 19 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :