Orang ramai membeli barang keperluan asas yang menawarkan harga murah berbanding pasaran menerusi Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di laman Bougainvilla, Gombak pada 25 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah barangan asas, PKPS salur RM6.16 juta subsidi ringan beban rakyat

SHAH ALAM, 19 DIS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencatat perolehan sebanyak RM19.65 juta menerusi pelaksanaan Jualan Ehsan Rakyat (JER) sejak September hingga semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata sejumlah RM6.16 juta subsidi dikeluarkan bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Jumlah ini membabitkan jualan barangan asas fasa pertama di 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 6 September hingga 6 Disember sebelum diteruskan selepas itu susulan sambutan menggalakkan.

“Program ini membantu ramai penduduk untuk mendapatkan aneka barangan dapur dengan harga jimat dan berpatutan,” katanya kepada Selangorkini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk menjayakan jualan murah dengan ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual, ikan kembung atau selayang dengan harga RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Pada 14 Disember lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan lebih dua juta penduduk Selangor mendapat manfaat daripada program itu sepanjang tempoh berkenaan.

Malah Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan peruntukan antara RM10 hingga RM15 juta disediakan bagi meneruskan program jualan murah selama tiga bulan mulai 15 Januari.


Pengarang :