Orang rama tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Kinrara di Pangsapuri Sri Begonia, Bandar Puteri, Puchong pada 19 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah DUN Kinrara, 200 papan telur habis terjual kurang sejam

Oleh Diana Abd Wahab

PETALING JAYA, 19 DIS: Sebanyak 200 papan telur habis terjual dalam masa 50 minit sempena Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara hari ini.

Pembantu Jualan  Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Izkeir Arman Noor Samsul berkata telur dan ayam antara  barangan paling laris dan menjadi rebutan setiap kali jualan.

Pembantu Jualan PKPS Izkeir Arman Noor Samsul Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

“Seramai 300 pengunjung beratur seawal 8 pagi walaupun kita mulakan jualan pada 10 pagi JER hari ini. Orang ramai memang tumpu beli telur memandangkan sukar mendapatkannya di pasaran.

“Setiap kali program memang ramai yang merayu mahu beli lebih daripada sepapan, namun kita hadkan sepapan bagi setiap pembeli kerana mahu semua dapat peluang,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata selain telur, PKPS menyediakan sebanyak 700 ekor ayam, daging pejal (300  pek), ikan kembung dan cencaru (200  pek), beras (300 kampit) dan minyak masak 5 kg (144  botol) di DUN Kinrara.

Jelajah jualan murah itu menyediakan barangan asas seperti ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Selain itu, pada program kali ini juga barangan kering jenama Ehsan PKPS turut dijual seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tiram, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.

“Semua barangan ini dijual serendah RM3 dan paling mahal RM37 bagi satu tin biskut seberat 2.5 kilogram. Barangan ini dijual RM0.30 hingga RM0.50 lebih murah daripada harga pasaran,” katanya.

Pada 13 Disember, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklum peruntukan antara RM10 hingga RM15 juta bagi meneruskan program itu selama tiga bulan mulai 15 Januari.

Beliau menjelaskan jelajah siri kedua yang menawarkan produk harga lebih rendah daripada pasaran memanfaatkan kira-kira 800,000 penduduk.

Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuat persiapan pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Kinrara di Pangsapuri Sri Begonia, Bandar Puteri, Puchong pada 19 Disember 2022.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Pengarang :