Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi Jelajah Ehsan Rakyat di Wisma PKPS, Shah Alam pada 13 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Jualan murah manfaatkan dua juta rakyat dalam tempoh tiga bulan

SHAH ALAM, 14 DIS: Pelaksanaan program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) dalam tempoh tiga bulan dari September hingga awal Disember memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jualan murah barangan asas fasa pertama itu yang melibatkan 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) turut mencatatkan nilai jualan melebihi RM16 juta.

“Program intervensi ini membabitkan subsidi lebih RM5 juta. Dengan jumlah ini kita membantu ramai penduduk meringankan beban belanja barangan dapur.

“Ini sesuatu yang menggembirakan dan wajar diteruskan pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi JER semalam.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta untuk menjayakan jualan murah di sembilan daerah setiap hari antara 6 September hingga 6 Disember.

Amirudin sebelum itu mengumumkan JER 2.0 diteruskan lagi selama tiga bulan mulai 15 Januari depan dengan anggaran peruntukan sehingga RM15 juta dan menyasarkan 800,000 penduduk.

Program itu akan mendapat kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) serta Koperasi Warga Hijrah Selangor (KoHijrah).

Orang ramai menyerbu jualan murah barangan asas ketika Karnival Jualan Ehsan sempena Aidiladha anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di tapak bazar Ramadan Taman Perwira, Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor itu menawarkan barang keperluan asas seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual pada harga murah ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :