Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Kuang di Dataran Setia, Kampung Setia, Kuang pada 30 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Jualan murah negeri di Puchong, Petaling Jaya, Klang esok

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 19 Dis: Orang ramai berpeluang membeli barangan asas dengan harga murah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Jualan murah tersebut bertempat di Jalan Indah 1, Taman Puchong Indah (DUN Kinrara); Flat Gasing Indah Seksyen 5/4, Petaling Jaya (DUN Bukit Gasing) dan Taman Menara Maju, Klang (DUN Sentosa).

Program anjuran Kerajaan Negeri itu menawarkan barangan seperti 500 ekor ayam standard pada harga RM10 seekor, 300 papan telur gred B (RM10 sepapan) dan 300 pek daging pejal segar (RM10 per pek).

Turut dijual ialah 300 pek ikan kembung (RM6 setiap pek), 300 kampit beras lima kilogram (RM10 sekampit) dan 150 botol minyak masak lima kilogram (RM25 sebotol).

Inisitif jualan murah itu turut menawarkan barangan kering keluaran Ehsan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS yang merupakan pengurus jualan murah berkenaan untuk maklumat lanjut atau pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Program yang berlangsung di 56 DUN dimulakan sejak 6 September lepas sepatutnya berakhir 6 Disember ini, namun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif itu disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.


Pengarang :