Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuat persiapan sebelum memulakan jualan murah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang di Taman Pelangi pada 24 Disember 2022. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah terima sambutan, PKPS dicadang tambah kuantiti barangan dapur

Oleh Diana Abd Wahab

RAWANG, 24 DIS: Kerajaan Negeri dicadang meningkatkan kuantiti barangan keperluan harian yang dijual dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat.

Pembantu khas kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat,  Ainul Aizura Ahsan berkata cadangan tersebut wajar dipertimbangkan kerana jualan murah negeri mendapat sambutan luar biasa di semua lokasi penganjuran.

Ainul Aizura Ahsan. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selaku penganjur program perlu melihat perkara ini kerana sangat membantu rakyat berjimat memandangkan kos sara hidup semakin membebankan.

“Rakyat puji JER, rakyat gembira apabila JER dianjurkan banyak kali di setiap DUN. Meskipun harga barangan murah tetapi kualiti ditawarkan sangat baik.

“Kita bukan pancing undi dengan sediakan barangan segar hanya ketika musim pilihan raya, tapi kita pastikan barangan yang dijual segar dan berkualiti setiap kali ia dianjurkan,” katanya ditemui selepas program itu di Taman Pelangi, di sini.

Ainul Aizura berkata pihaknya turut mencadangkan penambahan kaunter dan khemah  bagi melancarkan lagi operasi jualan murah itu yang akan disambung semula tahun depan.

Menerusi jualan murah tersebut, ayam standard dijual RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 setiap pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Turut dijual barangan kering jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tiram, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering seri kaya dan cili giling.

Program melibatkan 56 DUN itu bermula 6 September lepas dan sepatutnya berakhir 6 Disember, namun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif itu disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.


Pengarang :