Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Kinrara di Pangsapuri Sri Begonia, Bandar Puteri, Puchong pada 19 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan penutup barang dapur murah di tiga kawasan DUN esok

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 23 DIS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan mengadakan jualan penutup barangan asas murah bagi tahun ini di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) berlangsung di pekarangan Masjid al-Falah Kampung Budiman (DUN Meru), Jalan Pelangi 11 (DUN Rawang) dan pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa.

Seperti biasa, barangan ditawarkan seperti 500 ekor ayam standard pada harga RM10 seekor, 300 papan telur gred B (RM10 sepapan) dan 300 pek daging pejal segar (RM10 per pek).

Turut dijual ialah 300 pek ikan kembung (RM6 setiap pek), 300 kampit beras lima kilogram (RM10 sekampit) dan 150 botol minyak masak lima kilogram (RM25 sebotol).

Barangan kering keluaran Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling juga dijual dengan harga murah.

Program yang berlangsung di 56 DUN dimulakan sejak 6 September lalu akan disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.

Inisiatif yang memanfaatkan kira-kira 800,000 penduduk bagi meringankan beban orang ramai mencatat nilai jualan melebihi RM16 juta setakat ini.

 


Pengarang :