Pemenang tempat pertama Program Usahawan Siswazah (Grow) PKNS 2022, Khairul Najib Asarulah Khan (kanan) bergambar bersama naib juara Nur Halimah Mohd Saiful Rahim selepas majlis graduasi program itu di ibu pejabat PKNS, Shah Alam. pada 14 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Juara Grow 2022 intai peluang pasarkan produk sejuk beku ke Lembah Klang

SHAH ALAM, 15 DIS: Syarikat pembekal dan pengedar makanan sejuk beku yang menjuarai program Usahawan Siswazah (Grow) 2022 mahu memasarkan produk keluarannya ke Lembah Klang tahun depan.

Pengurus CR Khan Global Trading berkata produk sejuk beku roti canai, roti boom dan capati yang diusahakan sejak 2019 bersama keluarga hanya dipasarkan di premis terpilih di Negeri Sembilan.

Menurut Khairul Najib Asarulah Khan, 31, pihaknya turut menyasar pemasaran produk ke seluruh Semenanjung selain mengkaji peluang untuk menembusi jualan dalam talian.

“Kami mengintai peluang pemasaran dalam talian dengan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) giat dijalankan. Kami mahu pastikan produk selamat sampai kepada pelanggan kerana produk ini tiada bahan pengawet dan pewarna yang menjadi kekangan (pemasaran dalam talian),” katanya.

Beliau antara lima peserta akhir dipilih untuk membentangkan produk, strategi jualan dan prestasi perniagaan pada sesi ‘pitching’ serta Majlis Graduasi Grow 2022 di sini semalam.

Mengulas kemenangan itu, Khairul tidak menyangka diumum sebagai juara program pembangunan dan bimbingan anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berikutan persaingan agak sengit.

Beliau yang menerima wang kemenangan RM10,000 berhasrat menggunakannya untuk pembangunan produk terutama daripada aspek pembungkusan selain memohon pensijilan halal.

“Kejayaan ini berkat doa ibu bapa. Saya percaya ia titik permulaan kerana banyak lagi cabaran yang perlu dilalui untuk menaikkan nama produk, sekali gus bertahan dalam industri,” katanya.

Sementara itu, naib juara Grow 2022 menganggap kemenangan yang diraih menyuntik semangat untuk terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pemain industri pembinaan dan kejuruteraan.

Pengarah Urusan Hasara Solution berkata pihaknya menjalankan program e-pembelajaran Bijakbata.com yang memfokuskan industri profesional seperti arkitek, jurutera dan jurukur bahan.

“Projek yang dimulakan sejak 2019 berjaya menghimpunkan hampir 20,000 kontraktor seluruh negara dengan kesemua mereka mengikuti latihan secara dalam talian.

“Diharap penyertaan dalam Grow membantu saya untuk kembangkan lagi industri pembinaan terutama daripada aspek latihan,” kata Nur Halimah Mohd Saiful Rahim, 28.


Pengarang :