Suasana Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, Pasir Mas Kelantan 21 Disember 2022. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa bah di Perak meningkat, Pantai Timur terus menurun

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat manakala di Terengganu dan Kelantan terus menurun sementara di Pahang dan Johor tidak berubah setakat malam ini.

Di Perak, mangsa banjir di Bagan Datuk dan Hilir Perak meningkat kepada 41 orang daripada 15 keluarga berbanding 26 orang daripada 12 keluarga petang tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abd Rahman Talib (SMART) dibuka pada 7 malam ini bagi menempatkan 15 mangsa daripada tiga keluarga dari Kampung Batu 7 Changkat Jong, Hilir Perak.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat di Bagan Datuk pula masih kekal menempatkan 26 orang daripada 12 keluarga manakala paras air Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak turut meningkat melepasi paras amaran iaitu 3.27 meter ketika ini dan hujan di kebanyakan kawasan.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS terus menunjukkan penurunan angka kepada 27,396 orang berbanding 33,942 orang pada petang tadi.

Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 7,257 keluarga masih berlindung di 192 PPS di kesemua lapan daerah membabitkan Kemaman, Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu serta Marang.

Di Kelantan, seramai 24,690 orang mangsa banjir daripada 7,709 keluarga berlindung di 75 PPS malam ini, berbanding 25,755 orang daripada 8,015 keluarga petang tadi.

JPBN memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di PPS di sembilan jajahan membabitkan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok, dan Tumpat, Jeli dan Machang.

Di Pahang, Sekretariat JPBN memaklumkan mangsa banjir malam ini masih kekal seperti petang tadi iaitu 23 orang daripada enam keluarga yang ditempatkan di PPS SK Sungai Ular.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan paras air Sungai Keratong, Rompin dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran serta Paloh Hinai, Pekan sudah melepasi tahap amaran.

Di Johor, jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di dua PPS di Segamat kekal 46 orang sama seperti dicatatkan petang tadi.

Menurut JPBN dalam kenyataan, seramai 34 orang masih ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak manakala 12 mangsa yang lain di Dewan Komuniti Kampung Tasek.

“Kesemua mangsa daripada 14 keluarga itu adalah penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 Segamat,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :