Situasi banjir yang melanda daerah Setiu semasa tinjauan di Kampung Buluh, Bandar Permaisuri pada 19 Disember 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah mangsa bah di Terengganu, Kelantan, Pahang meningkat petang ini

KUALA LUMPUR, 19 DS: Mangsa banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang mencatatkan peningkatan pada sebelah petang hari ini berbanding pagi tadi, manakala jumlah mangsa di Johor tidak berubah.

Di TERENGGANU, situasi banjir semakin buruk apabila jumlah mangsa terlibat meningkat kepada 19,601 orang daripada 5,699 keluarga berbanding 11,415 orang daripada 3,326 keluarga pagi ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah kepada 243 berbanding 174 pagi tadi, dengan Kuala Nerus menjadi daerah terbaharu dilanda banjir, sekali gus menjadikan keseluruhan lapan daerah di Terengganu kini terjejas.

Hulu Terengganu masih menjadi daerah paling teruk terjejas dengan menempatkan 5,726 mangsa berlindung di 50 PPS; Besut sebanyak 5,067 mangsa melibatkan 80 PPS; Kemaman dengan 3,565 mangsa (26 PPS); dan Setiu sebanyak 3,172 mangsa (51 PPS).

Dungun mencatatkan 1,083 mangsa (23 PPS); Kuala Terengganu 382 mangsa (enam PPS); Marang dengan 304 mangsa (empat PPS); manakala Kuala Nerus pula 302 mangsa (tiga PPS).

Kebanyakan kawasan di negeri itu dilaporkan sedang hujan lebat dan berdasarkan laman sesawang https:publicinfobanjir.water.gov.my/, sebanyak 16 daripada 25 sungai utama di Terengganu merekodkan bacaan melebihi paras bahaya termasuk Sungai Berang di Kampung Menerong di Hulu Terengganu dan Sungai Besut di Kampung La di Besut.

Di KELANTAN, portal rasmi eBanjir negeri https://ebanjir.kelantan.gov.my/ memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 12,104 orang daripada 3,295 keluarga petang ini berbanding 8,645 orang daripada 2,586 keluarga pagi tadi.

Menurutnya, sebanyak 95 PPS dibuka membabitkan sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Berdasarkan laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, 11 sungai utama melepasi paras bahaya termasuk Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 39.92 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.10 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.74 m).

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan Kuantan adalah daerah kedua dilanda banjir selepas Raub, apabila enam PPS dibuka di daerah itu hari ini, bagi menempatkan 647 mangsa daripada 159 keluarga.

Jumlah mangsa banjir di Raub pula direkodkan meningkat pada petang ini kepada 62 orang daripada 20 keluarga yang berada di tiga PPS,  berbanding hanya sebuah PPS dihuni 40 orang daripada 13 keluarga pada pagi tadi.

Sungai Keratong di Rompin dilaporkan masih melebihi paras bahaya manakala dua sungai iaitu Sungai Tembeling di Jerantut dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran berada di paras amaran.

Di JOHOR,  Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan melaporkan jumlah mangsa banjir di daerah Segamat kekal 75 orang setakat 4 petang ini, dengan kesemua mangsa terdiri daripada 21 keluarga itu masih ditempatkan di tiga PPS.

Sebanyak 34 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak, 27 orang di Balai Raya Kampung Kuala Paya manakala Dewan Komuniti Kampung Tasek menempatkan 14 mangsa.

Menurut JPBN, paras air di dua lembangan sungai di negeri ini berada di paras amaran iaitu Sungai Muar, Buluh Kasap di Segamat menunjukkan bacaan 8.83m dan Sungai Lenik, Ladang Chaah di Segamat (5.76m).

Di PERAK, terdapat sedikit peningkatan daripada 49 mangsa membabitkan 17 keluarga pagi tadi kepada 54 mangsa dari 17 keluarga setakat 6 petang.

Mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat, demikian menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

— BERNAMA

 


Pengarang :