Anggota bomba memindahkan mangsa banjir di Kampung Jirat, Kuala Krai, Kelantan pada 20 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Sabah menurun

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Sabah pada petang ini menunjukkan trend penurunan berbanding pagi tadi, manakala di Perak kekal.

Bagaimanapun, jumlah penduduk di pesisir pantai di Sabah terutamanya yang tinggal di rumah atas air yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran fenomena air pasang besar pada petang ini meningkat berbanding pagi tadi.

Di Kelantan, seramai 3,900 mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas 12 PPS di negeri itu ditutup setakat 4 petang ini.

Perkembangan itu menjadikan seramai 1,511 mangsa banjir daripada 515 keluarga masih berada di enam PPS petang ini, berkurangan berbanding 5,411 orang daripada 1,787 keluarga pagi tadi.

Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Kapten (PA) Mohd Hanif Omar memaklumkan kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di enam PPS di jajahan Pasir Mas dan Tumpat.

“Lima PPS di Pasir Mas menempatkan 1,174 mangsa daripada 390 keluarga, manakala sebuah PPS di Tumpat menempatkan 337 mangsa daripada 125 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di Terengganu, situasi banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa turun mendadak kepada 138 berbanding 1,438 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan kini hanya Besut yang masih mempunyai mangsa banjir yang sedang berlindung di dua PPS iaitu seramai 126 orang di Masjid Kampung La dan 12 mangsa di Balairaya Kampung Pantai.

Manakala, di Perak, jumlah mangsa banjir kekal 62 orang daripada 14 keluarga melibatkan penduduk dari Kampung Batu 7 dan Kampung Batu 7 1/2 Lorong Mesra, Changkat Jong, yang kesemua mereka ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART), Hilir Perak.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan jumlah mangsa banjir itu tidak berubah sejak 8 pagi tadi.

Di Sabah, mangsa banjir yang dipindahkan di Kota Belud berkurangan kepada 139 mangsa daripada 57 keluarga petang ini berbanding 143 mangsa daripada 58 keluarga pagi tadi.

PPS di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan menempatkan 62 mangsa daripada 26 keluarga, dan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa menempatkan 77 mangsa daripada 31 keluarga.

Sementara itu, jumlah penduduk di persisir pantai terutama yang tinggal di rumah atas air yang dipindahkan akibat fenomena air pasang besar meningkat kepada 1,506 mangsa daripada 314 keluarga petang ini berbanding 1,483 mangsa daripada 308 keluarga pagi tadi.

Seramai 684 mangsa daripada 122 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Sandakan, 54 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Kota Kinabalu, manakala 768 mangsa daripada 177 keluarga dipindahkan ke enam PPS di Pitas.

– BERNAMA


Pengarang :