Penduduk Kampung Tersang yang tinggal berdekatan Sungai Golok mengambil langkah berjaga-jaga selepas hujan lebat sejak tiga hari lalu apabila paras air sungai itu naik iaitu 9.35 meter melepasi tahap bahaya ketika tinjauan di Rantau Panjang, Kelantan pada 10 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir Pahang, Kelantan dan Terengganu meningkat pagi ini

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Jumlah mangsa banjir di Perak dan Johor pagi ini kekal seperti malam tadi manakala di Pahang, Kelantan dan Terengganu menunjukkan peningkatan.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri memaklumkan seramai 134 orang daripada 31 keluarga berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART) setakat 8 pagi.

Jabatan Meteorologi Malaysia turut meramalkan cuaca ribut petir akan melanda seluruh daerah negeri berkenaan pada sebelah petang manakala Hilir Perak diramal hujan pada waktu malam.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak di Segamat kekal 27 orang daripada sembilan keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 Segamat yang dipindahkan susulan limpahan air dari Sungai Muar akibat hujan lebat.

Data Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan paras air Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat melepasi paras amaran dengan bacaan 19.88 meter manakala Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat pada paras amaran iaitu 8.94 meter; dan Sungai Sembrong di Batu Pahat pada paras waspada dengan bacaan 10.06 meter.

Di PAHANG, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di 11 PPS yang beroperasi di negeri itu meningkat kepada 573 orang berbanding 561 orang malam tadi.

Temerloh merupakan daerah paling ramai mangsa dengan 383 orang di sebuah PPS diikuti Lipis (dua PPS, 89 mangsa), Raub (lima PPS, 53 mangsa), Jerantut (satu PPS, 20 mangsa) dan Bera (dua PPS, 28 mangsa).

Sekretariat JPBN Pahang juga melaporkan dua sungai di negeri itu telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Triang di Bera dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran manakala empat lagi berada di paras amaran termasuk Sungai Belat di Kuantan.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan hujan di Raub pada pagi ini, manakala daerah lain yang terjejas banjir diramal mengalami ribut petir di beberapa kawasan pada hari ini.

Di KELANTAN, 1,157 orang daripada 376 keluarga ditempatkan di lima PPS di Rantau Panjang, Pasir Mas iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh (590 orang), SK Gual Periok (323), Masjid Mukim Padang Licin (46), PPS Putat Tujoh (83) dan SK Kubang Kual (115).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 659 orang daripada 168 keluarga berbanding 593 orang daripada 151 keluarga malam tadi dengan sebanyak 11 PPS sedang beroperasi.

Sekretariat JPBN Terengganu dalam kenyataan memaklumkan Kemaman merupakan daerah paling terkesan iaitu seramai 305 mangsa ditempatkan di empat PPS iaitu Kuala Nerus (216 orang di dua PPS), Kuala Terengganu (92 orang di dua PPS), Dungun (42 orang di dua PPS) dan Setiu (empat mangsa di satu PPS).

– BERNAMA


Pengarang :