EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman melihat peserta membuat pendaftaran temuduga sempena program Selangor Mega Job Fair di Maeps, Serdang pada 10 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Karnival kerjaya negeri di Maeps dapat sambutan, yakin capai sasar 10,000 kunjungan

SUBANG JAYA, 10 DIS : Lebih 2,000 individu hadir setakat jam 11 pagi tadi di Karnival Kerjaya Mega Selangor siri kedua yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang di sini.

Melihat kepada sambutan menggalakkan, EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman yakin sasaran 10,000 pengunjung boleh dicapai sehingga hari terakhir esok.

“Saya mengalu-alukan rakyat Selangor mahupun luar negeri hadir ke karnival ini pada hari ini dan esok bagi merebut peluang kerja kerana kita ada 300 majikan dengan 30,000 kekosongan jawatan.

“Menariknya, kekosongan jawatan turut terbuka kepada orang kurang upaya (OKU) kerana kita juga menyediakan empat jurubahasa bagi membantu golongan ini berkomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat gerai pameran di karnival berkenaan di sini hari ini.

Orang ramai mendaftar sebelum menjalani temuduga sempena program Selangor Mega Job Fair di Maeps, Serdang pada 10 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengulas mengenai golongan muda yang kurang berminat untuk melanjutkan pelajaran, Khairuddin menyarankan mereka untuk meneroka bidang kemahiran sebelum bekerja.

“Banyak yang Kerajaan Negeri tawarkan antaranya belajar kemahiran di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS).

“Saya sarankan jangan terus melompat ke alam pekerjaan sebaliknya cuba ceburi bidang kemahiran terlebih dahulu,” katanya.

Karnival Kerjaya Mega Selangor 2022 kali pertama berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA pada 11 dan 12 Jun disertai lebih 100 syarikat termasuk badan kerajaan dan agensi Kerajaan Negeri.

Inisiatif tersebut berjaya membantu 1,996 individu mendapat pekerjaan. Individu yang berminat boleh mendaftar di laman sesawang www.selangorjobportal.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.


Pengarang :