Orang ramai mendaftar sebelum menjalani temu duga sempena program Selangor Mega Job Fair di Maeps, Serdang pada 10 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Karnival kerjaya negeri tawar lebih 30,000 kekosongan, peluang tingkat pendapatan

SHAH ALAM, 11 DIS : Ibu tiga anak tidak melepaskan peluang berkunjung ke Karnival Kerjaya Mega Selangor 2022 siri kedua yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Safiyah Arifin, 33, ditemani suami dan anaknya datang dari Putrajaya kerana beliau mahu mencuba nasib mencari kerja baharu berikutan kontrak pekerjaan kini sudah tamat.

Safiyah Arifin. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Karnival anjuran Kerajaan Negeri ini amat bagus dan membantu kerana banyak majikan di sini yang kita boleh bertemu secara terus dan bagi resume tanpa perlu secara dalam talian.

“Parkir pun mudah di MAEPS dan kawasan sini pun luas, kita tidak perlu bersesak-sesak. Jadi mudah untuk ibu bapa yang mencari kerja sekiranya mereka ada bawa anak,” katanya ketika ditemui media.

Manakala, Muhammad Syazwan Rahadi, 28, dari Klang datang ke karnival itu kerana mahu mencari kerja yang lebih stabil berbanding kerjayanya ketika ini sekali gus meningkatkan pendapatan.

Muhammad Syazwan Rahadi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sekarang ini kerja sambilan bahagian peruncitan, rasa macam tak terjamin..harap boleh dapat kerja yang lebih menjamin masa depan dan menepati bidang yang dipelajari iaitu kewangan dan perniagaan.

“Pertama kali sertai karnival kerjaya anjuran Kerajaan Negeri dan setakat ini sudah pergi temuduga dengan tiga majikan (di sini) harap ada rezeki,” katanya.

Karnival Kerjaya Mega Selangor 2022 siri kedua itu berlangsung selama dua hari mulai semalam di MAEPS, Serdang dengan menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor melibatkan 300 syarikat ternama.

Antara syarikat terlibat adalah Perusahaan Otomobil Nasional (Proton), Pos Malaysia, Prasarana, Puncak Niaga Holdings, Starbucks, Genting Malaysia dan agensi kerajaan serta anak syarikat Kerajaan Negeri.

Rakyat Selangor khususnya belia digalak mengambil peluang yang disediakan dengan mendaftar di www.selangorjobportal.com.my atau hadir secara terus mulai jam 9 pagi hingga 5.30 petang.


Pengarang :