Pengurus Jualan dan Pemasaran IBDE Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman bersama buku terbaru berjudul Strategi Rahsia China , Muhammad Ali Raja Dunia Wira Amerika , Sipena V dan Penyucian Kalbu Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya di Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 4 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Karya Hamza Yusuf antara buku terjemahan IBDE terlaris di pesta buku negeri

SHAH ALAM, 4 DIS: Penyucian Kalbu: Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya menjadi buku terlaris di reruai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sejak hari pertama Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pengurus jualan dan pemasaran IBDE mengakui sambutan terhadap buku berkenaan di luar jangkaan, namun percaya terjemahan naskhah Hamza Yusuf yang pertama kali diterbitkan pada bulan lalu menarik minat pengunjung yang mahu membaca karya cendekiawan Islam itu.

“Sebenarnya kami menjangkakan naskhah Muhammad karya Martin Lings mendapat sambutan di pesta buku kali ini, kerana ia adalah buku terlaris kami.

“Tetapi rupanya ramai pengunjung berminat untuk mendapatkan buku karya Hamza Yusuf. Mungkin atas pelbagai faktor kerana beliau adalah ilmuwan terkenal dunia,” kata Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman kepada Selangorkini hari ini.

Strategi Rahsia China , Muhammad Ali Raja Dunia Wira Amerika , Sipena V dan Penyucian Kalbu Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya antara buku terbaharu yang berada di reruai IBDE di Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam mulai 1 hingga 11 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata IBDE turut membawa tiga lagi naskhah terbaharu iaitu Muhammad Ali: Raja Dunia, Wira Amerika; Strategi Rahsia China; dan Sipena V.

Menurutnya buku Strategi Rahsia China turut mendapat perhatian pengunjung, terutamanya peminat politik antarabangsa berikutan penulisnya iaitu Micheal Pillsbury adalah ‘orang luar’ pertama yang dijemput secara rasmi oleh kerajaan China untuk menulis mengenai mereka.

“Ia juga adalah kesinambungan daripada naskhah Mao Zedong: China dalam Dunia Abad Ke-20 yang pernah diterbitkan IBDE sebelum ini,” katanya.

Keempat-empat buku terbaharu terbitan IBDE itu dijual pada harga bermula RM40 sehingga RM70 di SIBF 2022 mulai 1 hingga 11 Disember.


Pengarang :