Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad ketika program Bual Bicara dan Hi Tea Puspanita Hulu Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang di Persiaran As Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kaum wanita disaran manfaat peluang jalani saringan kesihatan percuma

HULU SELANGOR, 4 DIS: Orang ramai khususnya kaum wanita disaran tidak melepaskan peluang untuk melakukan saringan kesihatan percuma menerusi program Selangor Saring pada tahun depan.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berkata menerusinya orang ramai boleh menjalani pelbagai saringan termasuklah fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, pengesanan awal barah pangkal rahim dan barah payu dara.

“Pemeriksaan saringan kesihatan dapat mengesan awal sekiranya dijangkiti dan dapat memberi rawatan segera bagi mengelak keadaan bertambah teruk hingga boleh membebankan rakyat terutama melibatkan kewangan.

“Pelbagai saringan dilakukan Kerajaan Negeri bagi memastikan masyarakat kekal sihat,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad dalam program bual bicara Pekawanis bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Selangor di Jelajah Selangor Penyayang daerah Hulu Selangor hari ini.

Orang ramai yang hadir pada program Bual Bicara dan Hi Tea Puspanita Hulu Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang di Persiaran As Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Program Selangor Saring mendapat sambutan amat menggalakkan apabila seramai 45,000 individu menyertai inisiatif tersebut sejak dilancarkan Mei lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah penyertaan program saringan kesihatan percuma yang berakhir 11 September turut melebihi sasaran 31,000 individu.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.1 juta supaya program itu dapat dilaksanakan di seluruh negeri.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri meneruskan pelaksanaannya dengan peruntukan RM1.5 juta bagi Program Selangor Saring dan RM1 juta bagi Selangor Kanser pada tahun hadapan.

Peserta membuat pemeriksaan kesihatan ketika program Selangor Saring DUN Batu Tiga di Dewan Heritier, Shah Alam pada 21 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :