Keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

KDEBWM, MPHS kutip satu tan sampah sehari di lokasi tanah runtuh Batang Kali

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 26 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengutip satu hingga dua tan sampah setiap hari bagi memastikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali berjalan lancar.

Petugas pembersihan KDEBWM Khairul Hafizi, 42, berkata beliau bersama tujuh lagi petugas melakukan dua atau tiga ‘trip’ pengutipan sampah pada waktu petang dan malam di lokasi SAR, lapor Sinar Harian.

“Anggaran kami sehari dalam satu tan, kadang-kadang cecah dua tan sampah dikutip setiap hari.

“Cabaran utama cuaca panas terik dan kalau hujan kami tak boleh jalankan kerja pula. Ditambah lagi dengan jalan sempit menyukarkan sedikit pergerakan kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Sabtu.

Beliau berkata tiga tan sisa pepejal dikutip petugas pembersihan pada hari pertama insiden adalah jumlah kutipan tertinggi berikutan ramai petugas dan pengamal media berkampung di lokasi kejadian.

Semua mereka bertugas dalam dua syif iaitu pagi dan malam dan berada di lokasi sejak hari pertama tragedi pada 16 Disember lalu.

Seramai 92 mangsa terlibat dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah sehingga menimbus kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya.

Mangsa yang terkorban terdiri daripada 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak termasuk seorang bayi berumur setahun.

Operasi sepanjang sembilan hari itu dijalankan oleh lebih 250 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk lima agensi utama kerajaan iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).


Pengarang :