Kapten skuad Harimau Malaya Muhammad Safawi Rasid bakal beraksi di Liga 1 Thailand bersama Ratchaburi FC. Foto Facebook Sapawi Rasid
AGENDASUKANKINI

Kelab Thailand pinjam Safawi selepas saingan Piala AFF

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Pemain bola sepak sensasi kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid bakal beraksi di Liga 1 Thailand bersama Ratchaburi FC, selepas saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio mengesahkan bahawa penyerang dan pemain sayap lincah berusia 25 tahun itu telah dipinjamkan kepada Ratchaburi.

Selain Muhammad Safawi, skuad Harimau Selatan itu juga telah mencapai persetujuan dengan kelab Thailand itu untuk meminjamkan pemain import dari Mali, Moussa Sidibe.

“Harimau Selatan mendoakan yang terbaik buat kedua-dua pemain ini untuk musim akan datang,” katanya menerusi kenyataan ringkas di media sosial kelab berkenaan.

Terdahulu, sebuah portal antarabangsa melaporkan Pengerusi Ratchaburi, Tanawat Nitikanchana sebagai berkata kelab tersebut telah mencapai persetujuan dengan JDT untuk mendapatkan khidmat Muhammad Safawi, yang merupakan salah seorang kapten skuad Harimau Malaya.

Piala AFF 2022 dijadualkan bermula 20 Disember hingga 16 Januari depan.

Muhammad Safawi yang menyertai JDT dari Terengganu FC II pada Januari 2017, sebelum ini pernah dipinjamkan ke kelab di divisyen utama Portugal, Portimonense SC selama tiga bulan pada hujung 2021.

Pemain kelahiran kelahiran Dungun, Terengganu itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama pelakon Syifa Melvin Isnin lepas.

Sebelum ini pemain seperti Shahrel Fikri (Nakhon Ratchasima), Dominic Tan (Police Tero) dan Junior Eldstal (Chonburi FC) pernah beraksi di Liga Thai. – BERNAMA


Pengarang :