Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan cek cura sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor 2022 kepada Dato’ Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika kunjungan hormat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, Kota Baharu pada 27 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kelantan guna bantuan RM500,000 daripada Selangor baik pulih rumah mangsa banjir

KOTA BHARU, 27 DIS: Kerajaan Kelantan akan menggunakan dana RM500,000 sumbangan Kerajaan Selangor untuk membaik pulih rumah penduduk yang rosak akibat banjir.

Merakam penghargaan atas keprihatinan itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata tumpuan diberi kepada rumah penduduk di beberapa daerah yang terjejas teruk antaranya Tumpat, Rantau Panjang dan Pasir Putih.

“Insya-Allah, kita akan gunakan bantuan itu untuk memulihkan rumah penduduk sama ada zink dan bumbung kayu supaya mereka dapat kembali ke rumah masing-masing seperti biasa.

“Kita kenal pasti mengikut kawasan yang ramai terjejas dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) misalnya Rantau Panjang Pasir Putih yang melebihi 6,000 mangsa (terjejas),” katanya.

Terdahulu, beliau menerima cek cura bantuan banjir #KitaSelangor bernilai RM500,000 daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang mengadakan kunjungan hormat ke pejabatnya hari ini.

Menyatakan lebih 1,000 mangsa masih berada di enam PPS setakat ini, Ahmad menyifatkan banjir itu akibat hujan terlampau lebat dengan taburan 623 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam, mengatasi rekod pada 1967 iaitu 608mm.

“Ini kerana berlaku situasi air termenung tetapi kita jangka air surut sepenuhnya dalam seminggu lagi,” kata beliau.


Pengarang :