Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, Pasir Mas Kelantan 21 Disember 2022. Hadir sama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Persekutuan salur bantuan bah RM100 juta kepada Kelantan, Terengganu

PASIR MAS, 21 DIS: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan segera bantuan banjir berjumlah RM100 juta kepada negeri Kelantan dan Terengganu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negeri berkenaan masing-masing memperoleh RM50 juta susulan keadaan banjir yang serius untuk kebajikan rakyat.

“Kerajaan hari ini bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta masing-masing di Kelantan dan Terengganu sebagai bantuan awal untuk meringankan beban akibat bencana Monsun Timur Laut.

Jumlah keseluruhan bantuan untuk kedua-dua negeri adalah sebanyak RM100 juta,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Terdahulu, Anwar sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni mangsa banjir di PPS berkenaan dan mendengar taklimat berkaitan situasi banjir di Kelantan yang dihadiri oleh agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Mengulas lanjut, Anwar berkata bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir turut diberikan berjumlah RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke PPS dan RM10,000 kepada keluarga yang kematian ahli keluarga akibat banjir yang mana bayaran diberikan kepada KIR. – BERNAMA

 

 

 

 


Pengarang :