Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melihat koleksi keris sempena Pameran “Keris:Kuasa dan Jati Diri” di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur pada 1 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Keris 300 tahun antara 59 koleksi Sultan Sharafuddin

Oleh SOFIA NASIR & ABDUL RAHIM SABRI

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memiliki koleksi keris termasuk berusia lebih 300 tahun.

Keris jenis coteng itu yang berasal dari Patani, Thailand mempunyai ukiran unik menyerupai manusia (antropomorfik) pada hulu yang berbentuk muncung lurus dan panjang.

Baginda juga menyimpan keris Cirebon-Tegal Lok Lima berasal dari Jawa Utara. Ditempa pada abad ke-19 yang bilahnya tertera mentera azimat berukiran emas dengan gaya kawi lama, sistem tulisan terawal di nusantara.

Juga dikenali sebagai aksara Jawa kuno, tulisan tersebut digunakan secara meluas sekitar abad kelapan hingga ke-16.

Turut dimiliki, keris Minangkabau lurus berasal dari Sumatera Barat yang ada hiasan luar biasa dikenali sebagai putut pada bahagian akut dan lubang di kedua-dua bahagian tepi bilah.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melihat koleksi keris sempena Pameran “Keris:Kuasa dan Jati Diri” di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur pada 1 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Senjata tradisional masyarakat Melayu itu antara 59 koleksi peribadi milik Baginda yang diperaga dalam Pameran Keris: Kuasa dan Jati Diri di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur.

Pameran antarabangsa itu anjuran bersama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dan muzium berkenaan untuk diperlihat kepada orang awam antara 2 Disember sehingga 13 Mac depan.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan Keris Lok Tujuh milik Kesultanan Negeri Selangor yang bertatah emas di seluruh bahagian, dari hulu hingga ke hujung termasuk sarungnya dalam program tersebut.

Ambil masa dua tahun

Kurator pameran Hariz Ahmad Kamal menjelaskan pihaknya mengambil masa dua tahun untuk mengadakan pameran yang julung kali mempersembah koleksi Sultan Sharafuddin.

“Ini kerjasama pertama kami bersama YRMS. Sebenarnya, kita ada rancangan untuk buat pameran ini tetapi terpaksa ditangguh akibat pandemik.

“Syukur kerana walaupun ia tertangguh selama dua tahun, YRMS sentiasa cakna dan memberikan kerjasama yang baik untuk menjadikan pameran ini satu kenyataan,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melihat koleksi keris sempena Pameran “Keris:Kuasa dan Jati Diri” di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur pada 1 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pameran itu dibahagi kepada enam bahagian iaitu Dunia Melayu dan Sejarah Keris, Kesenian Keris, Warisan Bersama, Simbol Kedaulatan, Pengaruh Agama Islam, serta Kesinambungan Legasi.

Pengunjung khususnya peminat senjata tradisional itu dibawa menelusuri susur galur keris termasuk kedudukannya sebagai legenda selama berabad-abad dan dijadikan cenderamata antara kerajaan sebagai simbol diplomasi.

“Keris senjata yang diagung-agungkan dalam dunia Melayu. Pada kemuncak kemasyhurannya, ia menjadi fenomena budaya yang meluas dalam kalangan masyarakat Melayu bermula dari Aceh sehingga ke Mindanao,” kata Hariz.

Legasi keris

Bagi mengekal warisan itu supaya tidak ditelan zaman, YRMS memulakan usaha mencari empu keris terkenal dan berpengalaman luas untuk dijadikan mentor dalam projek ‘Talent For The World – Young Keris Maker’.

Pada masa kini, hanya 10 orang empu keris yang benar-benar asli dan pakar seni pembuatan keris yang masih hidup, kebanyakannya generasi lama.

Program bermula pada April 2019 membimbing tiga tukang muda untuk menguasai seni pembuatan keris melalui naungan lima mentor berpengalaman dari Pahang dan Terengganu.

Daripada hampir 200 penyertaan dari seluruh negara, tiga pelapis terpilih ialah Muzaffar Mohd Zafri, 32, Ahmad Azuan Othman, 33, dan Abdul Hakim Zulkifli, 29.

Mereka turut mempamer karya masing-masing iaitu Keris Bugis Lok Lima berpamor perut ular (Muzaffar), keris alang bilah 21 inci dengan sampir sari bulan (Ahmad Azuan) dan keris Bugis sepuk berpamor bulu merak (Abdul Hakim).

Karya keris moden mereka dipamer pada bahagian akhir galeri. Ia simbolik kepada sebahagian usaha bagi memastikan kesinambungan seni pembuatan keris kepada generasi masa hadapan.

Pameran diraja itu turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti program pendidikan, bual bicara, bengkel kayu dan wayang kulit, serta perkongsian istimewa daripada tiga pelatih program YRMS.


Pengarang :