Orang ramai melakukan aktiviti riadah pada hujung minggu bersama keluarga di Taman Tasik Titiwangsa pada 14 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes baharu Covid-19 turun 18.7 peratus minggu lalu, 31 kematian

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Bilangan kes baharu Covid-19 pada Minggu Epidemiologi ke-51 (ME51/2022) atau 18 hingga 24 Disember lepas merekodkan penurunan 18.7 peratus dengan 5,894 kes berbanding 7,249 kes pada minggu sebelumnya (ME50/2022).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu, bilangan kes tempatan menunjukkan penurunan 18.7 peratus iaitu daripada 7,232 kes kepada 5,880 kes.

“Bilangan kes import juga menurun sebanyak 17.6 peratus iaitu 17 kes kepada 14 kes,” katanya dalam kenyataan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata pada ME51/2022, bilangan kes kematian turut berkurangan sebanyak 34 peratus iaitu 31 kes pada minggu itu berbanding 47 kes, minggu sebelumnya.

“Purata kes aktif setiap hari bagi ME51/2022 menurun sebanyak 13.7 peratus iaitu (16,895 kes kepada 14,580 kes),” katanya dan menambah purata nilai kadar kebolehjangkitan (RT) direkodkan pula ialah 0.84, pada minggu berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata bilangan kes sembuh juga menunjukkan penurunan dengan 7,791 kes pada ME51/2022 berbanding 10,330 kes pada minggu sebelumnya.

Mengenai situasi bencana banjir, beliau berkata pada ME51/2022 enam kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir.

“Kesemuanya adalah kes ringan dan pesakit meneruskan isolasi di rumah setelah pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup,” katanya yang turut memberitahu tiada sebarang kes positif Covid-19 dilapor di PPS.

Selain itu, katanya 3,212 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir di PPS antaranya melibatkan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) iaitu 1,749 kes dan penyakit kulit (1,232), konjunktivitis (124), acute gastroenteritis (106) dan chicken-pox (satu).

“Semua kes yang dilaporkan adalah kes terpencil dan tiada kejadian wabak penyakit berjangkit berlaku di PPS,” kata Dr Noor Hisham.

– BERNAMA


Pengarang :