Ahmad Salleh Iman, 69, (kanan) bersama anak dan cucunya menjalankan perniagaan di Medan selera Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) selepas warung yang dibina di rizab bahu Jalan Taqwa dirobohkan MBSJ di Persiaran Puchong Permai, Puchong, Subang Jaya pada 24 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ketenteraman lebih 3,000 penduduk terjamin, kawasan tidak sesak selepas tapak niaga diroboh

SUBANG JAYA, 25 DIS: Ketenteraman lebih 3,000 penduduk setempat lebih terjamin sejak tapak penjaja yang didirikan secara haram di sepanjang rizab bahu Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai, Puchong di sini dirobohkan baru-baru ini.

Penduduk mengakui tiada lagi kacau ganggu lalu lintas selain masalah pencemaran bunyi dan kebersihan di kawasan terbabit selepas tindakan dibuat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Penduduk, Hasnor Jazid, 55, berkata laluan hadapan rumahnya tidak sesak seperti dahulu selepas operasi perniagaan di tapak penjaja itu dihentikan.

“Sebelum ini jalan di depan rumah saya menjadi laluan utama kenderaan dan bertambah sesak apabila ada yang berhenti untuk singgah di tapak penjaja membeli makanan.

“Apabila tiada penjaja meniaga di sini keadaan lalu lintas lancar, kenderaan sekadar lalu tetapi tidak berhenti sebab di sini juga jalan pintas untuk ke mana-mana,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Ipah Hashim, 69, berkata tiada orang awam meletak kenderaan di hadapan rumahnya sejak perobohan dilakukan.

Ipah Hashim, 69. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Selalunya banyak juga kereta parkir sesuka hati depan rumah kerana mereka mahu singgah ke tapak penjaja, tetapi sekarang sudah tiada.

“Kereta pun sudah tidak berselisih antara satu sama lain, sebelum ini laluan depan rumah saya jadi jalan dua hala walaupun sempit,” katanya yang sudah 25 tahun menetap di situ.

Suri rumah, Saripah Junus, 37, berkata kebersihan di kawasan pangsapuri terjaga walaupun mengakui ketiadaan penjaja di tapak berkenaan menyukarkan penduduk yang terpaksa membeli makanan di lokasi sedikit jauh.

Saripah Junus, 37. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Memang selesa sebab kawasan persekitaran bersih dan tiada kenderaan yang halang laluan, kalau tidak selama ini tak teratur.

“Kadangkala menimbulkan suasana bising sebab ada penjaja yang meniaga hingga larut malam. Jadi saya rasa bagus kalau mereka dipindahkan, cuma agak susah bagi penduduk untuk beli makanan kerana sedikit jauh,” katanya.

Sementara itu, Saiful Izam Ibrahim, 47, berkata isu kemalangan mampu dielakkan apabila tiada aktiviti perniagaan dijalankan di tapak terbabit.

“Sebelum ini pernah berlaku kemalangan di situ sebab banyak kenderaan keluar masuk dan menjejaskan keselamatan orang ramai terutama penduduk setempat.

Saiful Izam Ibrahim, 47. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Selepas seminggu tapak dirobohkan, saya lihat ada perubahan dengan laluan pun sudah tidak sesak dan memudahkan penduduk yang ingin keluar terutama waktu pagi,” katanya.

Rabu lalu, MBSJ merobohkan 25 binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahu jalan berkenaan dan menawarkan tapak niaga medan selera bersebelahan Dataran Niaga Puchong Permai yang terletak kira-kira 300 meter.


Pengarang :