Anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya pada 17 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ketua polis: Sukarelawan, NGO dilarang bantu operasi cari mangsa tanah runtuh

BATANG KALI, 17 DIS: Sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan berada di lapangan membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini kerana tidak sesuai bagi orang awam berada di lokasi pencarian SAR.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mengetuai operasi itu, akan menentukan siapa akan dibenarkan masuk ke kawasan pencarian untuk membantu mereka.

“Kalau tidak ia akan menyebabkan keadaan lebih kucar-kacir kerana kawasan pencarian yang luas,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) memaklumkan hasil perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya media rasmi kerajaan dibenarkan memasuki ke lokasi pencarian hingga ke zon merah bagi merakam foto sepanjang operasi SAR, mulai malam ini.

Bagaimanapun, katanya esok JaPen dan PDRM akan mengeluarkan jadual bagi membenarkan penggiliran jurugambar daripada agensi media lain untuk turun ke lokasi.

Ia susulan permintaan daripada jurugambar bertugas di lokasi kepada Ketua Polis Negara yang memaklumkan kesukaran mereka untuk mendapatkan visual terbaik.

Sementara itu, Pengarah JBPM Selangor Datuk Norazam Khamis berkata larangan untuk sukarelawan atau NGO berada di tapak SAR adalah demi kebaikan dan keselamatan mereka memandangkan keadaan di kawasan tersebut berbahaya dan berisiko.

Beliau berkata hanya anggota dan agensi menyelamat yang terlatih dibenarkan berada di kawasan operasi zon merah, selaras arahan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Contohnya, di kawasan ini kalau kita lihat struktur tanah dalam keadaan lembut dan jika hujan berkemungkinan berlaku lagi runtuhan atau gelinciran di kawasan runtuhan.

“Jadi, keadaan ini memerlukan kepekaan dan latihan khusus serta kesediaan kita menghadapi situasi sukar dan tidak dijangka, sebab itu kita perlukan anggota mahir selain mempunyai kecergasan fizikal yang baik untuk berada di sini,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata NGO dan sukarelawan boleh menghulurkan bantuan di luar kawasan operasi yang dibenarkan, iaitu di luar kawasan yang dikategorikan zon merah.

–BERNAMA

 


Pengarang :