EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau (lima, kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Peguam Selangor V Komila Vaani (enam, kanan) bergambar bersama sebahagian Ahli Dewan Negeri (ADN) dan peguam pada Majlis Pelancaran Program Dana Bantuan Guaman Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Khidmat guaman percuma kes syariah bantu wanita B40 tertindas

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 8 DIS: Golongan wanita khusus dari golongan kurang berkemampuan (B40) berpeluang mendapat nasihat guaman membabitkan kes syariah secara percuma menerusi Dana Bantuan Guaman Syariah.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif dengan kerjasama Selangor Bar membabitkan peruntukan RM2 juta bagi menguruskan kes berkaitan kekeluargaan dan pekerjaan untuk rakyat dalam kategori B40.

“Pada 2023 Inisiatif Dana Bantuan Guaman Selangor akan diperluas kepada isu melibatkan kes syariah yang berfungsi membantu menyelesaikan isu kekeluargaan dan keganasan domestik.

“Inisiatif ini khusus untuk membantu golongan kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan guaman agar keadilan golongan yang sering ditindas ini terbela,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Pada 25 November, Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023 mengumumkan skim bantuan guaman percuma bakal diperluas ke kes syariah bagi membantu wanita yang tertindas.

Selangor muncul negeri pertama menyediakan bantuan berkenaan dengan peruntukan RM1 juta menerusi penubuhan skim terbabit pada 24 Julai lalu.

Inisiatif tersebut bagi menyelesaikan isu kekeluargaan (sivil), pekerjaan serta kes kepentingan awam bagi memastikan masyarakat tidak ditindas dan terpinggir.


Pengarang :