Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin pneumokokal kepada warga emas ketika program Vaksinasi Selcare di Keramat Permai, Gombak pada 13 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Khusus warga emas, DUN Subang Jaya sedia vaksin influenza, pneumokokal percuma

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 13 DIS: Warga emas berusia 60 tahun ke atas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya berpeluang mendapat suntikan vaksin influenza dan pneumokokal secara percuma Sabtu ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya berkata sebanyak 1,000 dos vaksin disediakan sempena program itu di Pusat Komuniti JKP Zon 4 Dewan USJ 1 mulai 10 pagi hingga 4 petang.

“Memandangkan vaksin yang disediakan terhad, kita minta golongan sasar mendaftar di https://bit.ly/sj_vaccine terlebih dahulu.

“Hanya pemohon yang layak akan menerima pengesahan yang dihantar menerusi sistem pesanan ringkas (SMS),” kata Michelle Ng Mei Sze kepada Selangorkini.

Menurut Michelle Ng program dibahagikan kepada lima slot bagi mengelakkan warga emas beratur dan menunggu terlalu lama  sehingga mendedahkan mereka risiko dijangkiti.

Jelasnya setiap satu slot selama satu jam itu diperuntukkan untuk 200 warga emas yang layak menerima vaksinasi.

Pada 10 November, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta dalam menyediakan 10,000 dos vaksin percuma bagi memastikan kesihatan penduduk berisiko tinggi terpelihara.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata fasa pertama program yang bermula pada 13 November sehingga 31 Disember ini menyasarkan seramai 5,000 individu terdiri warga emas, 60 tahun ke bawah dan golongan berisiko dijangkiti penyakit.


Pengarang :