Sejarah Selangor 1766–1939 karangan J. M. Gullick mengisahkan pemerintahan negeri Melayu antara pertengahan abad ke-18 hingga awal abad ke-20. Foto IBDE
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Kisah 40 tahun lawan penjajah, Sultan Ibrahim serang pentadbiran Belanda

OLEH KARIM MOHD

SHAH ALAM, 15 DIS: Hikayat Negeri Johor ada menyebutkan, “Maka tiada berapa lamanya Pengeran Suta Wijaya (Raja Haji) pun kerajaan di dalam Riau maka paduka kekanda Yang Dipertuan Selangor pun mangkatlah.” Setelah kira-kira 15 tahun memerintah, Sultan Salehuddin Shah mangkat dengan julukan Marhum Saleh.

Dalam 1782, kekanda Almarhum Sultan Selangor, Raja Haji pergi ke Kuala Selangor bagi menabalkan anak saudaranya, Raja Ibrahim putera Marhum Saleh sebagai Sultan Selangor yang baharu. Sultan Ibrahim Shah bangun keesokan harinya melihat matahari baru terbit di ufuk Kuala Selangor.

Dia bukan lagi Raja Muda, tetapi kini seorang sultan sebuah negeri yang makmur menggantikan ayahandanya. Adinda baginda, Raja Nala diangkat menjadi Raja Muda Selangor menggantikan tempatnya. Mereka melaksanakan galas dan tugas pentadbiran negeri seperti biasa.

Tetapi ketenangan ini hanya seketika. Bapa saudaranya Raja Haji yang kini menyandang Yamtuan Muda Riau keempat mula berantakan dengan Belanda.

Penentangan terhadap kekuasaan Belanda bukanlah baharu bagi kaum Bugis. Sebelumnya pada 1756, Daeng Kemboja dan sekutunya Raja Haji sendiri dibantu orang Rembau telah pergi menyerang Melaka. Peperangan berlanjutan sehingga Mei 1757 sebelum diakhiri perjanjian damai.

Setelah itu Raja Haji memeterai perjanjian persahabatan bersama Belanda dengan syarat sekiranya Belanda atau Raja Haji mendapat sebarang harta rampasan, hendaklah dibahagi sama rata antara kedua-dua pihak.

Beberapa ketika selepas peristiwa kemangkatan Marhum Saleh, sebuah kapal dagang Syarikat Hindia Timur Inggeris belayar di perairan Riau, membawa bersama 1,254 buah peti candu.

Murka dengan Belanda

Pihak Belanda telah merampasnya di Pulau Bayan dengan bantuan sebuah kapal Perancis tetapi Raja Haji tidak beroleh apa-apa laba rampasan seperti yang dijanjikan Belanda dahulu.

“Apalah gunanya perjanjian yang syaratnya setengah dipakai dan setengah tidak itu!” bentak Raja Haji di pejabat Gabenor Belanda di Melaka sebelum dia berpulang ke Riau.

Di balai kerajaannya, Raja Haji mula merasa murka Gabenor Belanda yang marah terhadap kebiadabannya. Belanda menghantar enam buah kapal yang membawa kira-kira 900 orang askar ramainya demi memerangi dan menggugat kerajaan Riau.

Yamtuan Muda Raja Haji pastilah naik darah, dia bangkit bersungguh-sungguh mengumpulkan angkatan dan melawan kuasa luar yang dahulunya dijadikan kawan tapi hakikatnya lawan yang sukar dijinakkan. Penentangan dari Riau semakin gencar.

Pejabat tadbir Belanda di Melaka menghantar lagi sebuah kapal pada September 1782, membawa bala tentera tambahan seramai 594 orang. Riau terkepung hebat.

Sultan Ibrahim Shah yang bersemayam di Kuala Selangor sudah mendengar khabar ayah saudaranya itu sedang berperang menentang serangan Belanda di Riau, maka beliau dan adindanya Raja Nala bersepakat menghulurkan bantuan.

Sultan Ibrahim Shah menggunakan pengaruhnya sebagai pemerintah negeri Selangor untuk mengumpulkan angkatan dari Selangor, kebanyakannya orang Bugis, serta singgah di Rembau bagi berunding mendapatkan kekuatan tambahan sebelum menyerang pusat pentadbiran Belanda di Melaka.

Angkatan Selangor menyerang

Belanda sudah pastinya tergugat dek penyerangan di dua tempat sekaligus: Raja Haji menentang di Riau manakala Sultan Ibrahim Shah menyerang terus ibu kota tadbirnya di Melaka. Tatkala berkubu di Batang Tiga, Melaka, angkatan Sultan Ibrahim Shah bertembung pasukan askar Belanda.

Terjadilah pertempuran hebat yang menyaksikan banyak pertumpahan darah orang Belanda dan orang Melaka yang membantu Belanda melawan angkatan Selangor. Sultan Ibrahim Shah terus mara, menyerang banyak tempat sekitar bandar Melaka. Peperangan itu berlanjutan sehingga 1783.

Kira-kira genap dua tahun penentangan Sultan Ibrahim Shah dan Yamtuan Muda Raja Haji terhadap kekuasaan Belanda, maka Belanda pun cuba menawarkan pertempuran penentu pada awal tahun kemudiannya. Mereka berharap penentangan pihak Riau dapat digencatkan segera manakala serangan dari kaum Bugis Selangor juga bakal reda.

Setelah kepungan lama, Belanda pula terasa padahnya kepahlawanan dan semangat juang pihak lawan. Sebuah kapal yang diterajui ketua pemerintah tentera Belanda telah diletupkan “sehinggakan geladak kapal berterbangan ke udara.”

Reda seketika. Belanda tarik tangan, memanggil semua angkatan perangnya agar berhenti mengepung Riau supaya tidak merugikan bala tenteranya.

Dalam pada itu, penentangan Sultan Ibrahim Shah di Melaka masih berlangsung. Sewaktu angkatannya sedang berperang di Melaka, Sultan Ibrahim Shah memudiki sebuah perahu kakap untuk pergi ke Riau demi menyampaikan khabar kepada ayah saudaranya.

Beliau melihat peluang, pihak Bugis akan menang jika angkatan Riau turut menyokong penentangan di Melaka. Adapun Yamtuan Muda Raja Haji berfikir sejenak tatkala mendengar khabar itu lalu menetapkan fikirannya. Ajakan Sultan Ibrahim Shah dilunasi. Lebih kurang seribu orang perajurit Riau dikumpulkan, belayar ke Melaka.

Perjuangan 40 tahun

Cerita ini baru bermula. Itulah bibit-bibit awal perjuangan Sultan Ibrahim menentang Belanda. Penentangan yang berterusan pastilah hebat. Kadangkala pihak lain terheret sama, sama ada di pihak Belanda atau di pihak Sultan Ibrahim Shah. Hubungan dengan negeri Perak renggang, Siam berhasrat menyerang Selangor.

Perjuangan Sultan Ibrahim Shah selama 40 tahun memang tidak sia-sia, tapi menemui pengakhiran yang mengesalkan. Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang sangat kuat dibantahnya menyaksikan Sabak Bernam menjadi pemisah di antara negeri Perak dan Selangor.

Belum tumpas satu penjajah, satu penjajah lain menapak lagi. Sedang penjajah Inggeris mula menularkan pengaruh dan mencatur pentadbiran semenanjung Tanah Melayu, Sultan Ibrahim Shah mangkat pada tahun 1826 di Kuala Selangor.

Sejak perisytiharan daulat oleh ayahanda Sultan Ibrahim Shah iaitu Raja Lumu yang ditabalkan dengan nama Sultan Salehuddin Shah kira-kira 277 tahun lampau, negeri Selangor telah mencatat banyak kemakmuran tetapi juga jerih payah dan pergolakan.

History of Selangor 1766–1939 (terjemahan IBDE Sejarah Selangor 1766–1939) karangan J. M. Gullick bukan sekadar menonjolkan hal-hal birokrasi, pemerintahan dan tetek-benget pentadbiran tetapi juga peristiwa perjuangan yang wajar diingati dan terus diperingatkan sepanjang zaman.

 


Pengarang :